Wednesday, September 16, 2009

LAGI-LAGI BADAK BERENDAM......kukus style

Hmmm.....berbuka puasa dengan kuih Badak Berendam lagi. Biasalah, kuih kegemaran Abang Misai saya. Kali ni dia mahukan yang dikukus bersama-sama santan pekat. Macam yang dia biasa makan zaman kanak-kanak dulu...nostalgia la tu konon.
Ini intinya. Warna tak menarik sebab gula melaka dah habis. Jadi terpaksa pakai gula pasir je. Sebab nak cepat saya gaulkan gula pasir dengan kelapa dan sedikit garam sekaligus, kes guna jalan pintas ni. Lepas tu saya kacau adunan kelapa tadi bersama daun pandan yang disimpul di dalam kuali sampai gula melekit dan keperangan warnanya, omputih kata caramelized. Lepas tu masukkan sikit santan pekat dan kacau lagi sampai kering sedikit.
Inti yang dah siap dimasak dibulat-bulatkan supaya senang untuk dibalut dengan doh tepung pulut tu nanti. Jangan gentel masa inti tengah panas, melecur nanti tapak tangan yang halus tu.
Kuih Badak Berendam yang dah siap dimasukkan inti kelapa, dibentukkan bulat-bulat. Kali ni saya gunakan pewarna kuning. Loyang mesti dialas dengan daun pisang. Lepas tu susun kuih yang sudah dibentukkan tadi. Kemudian kita tuangkan santan pekat di atasnya, tak payah penuh, jangan lupa letakkan juga daun pandan . Akhir sekali bolehlah dikukus sampai masak. 
Inilah rupanya Badak Berendam yang dah siap dikukus, baunya harum kesan daripada penggunaan daun pisang dan daun pandan.
Badak Berendam telah sedia untuk dinikmati. Saya lebih suka inti kelapa Badak Berendam/Bersiram pada posting yang lepas, warnanya lebih menarik tapi yang ini pun boleh tahan juga.
Yang penting Abang Misai saya suka...hihihi..........ENJOYYYY!!!!

JEMPUT-JEMPUT ROTI

 
Inilah dia jemput-jemput roti yang sangat mudah disediakan malah sedap rasanya. Biasanya kalau kita buat sandwich...bahagian kerak roti selalunya dibuang. Hmmm...lepas ni jangan membazir, reja-reja kerak roti tu boleh digunakan untuk buat jemput-jemput ni. Selalunya saya gunakan roti sandwich Gardenia tapi kali ni saya gunakan roti hot dog Gardenia pulak.

Bahan-bahannya senang je. Kita cuma perlukan roti (apa-apa roti pun boleh)...masa ni saya gunakan 3 roti hot dog Gardenia je...koyak-koyakkan dan ramas bagi hancur...roti ni peroi sikit...kalau guna roti sandwich biasanya saya potong dadu kecil-kecil , telur 2 biji...saiz besar, kubis yang dihiris  (ikut suka) sebiji kentang yang disagat...masukkan lebih pun takpe...lagi sedap, sebiji bawang besar dihiris nipis, bebola ikan dihiris nipis(kebetulan ada dalam peti ais...letak udang lagi sedap), garam secukup rasa...jangan banyak sangat dan minyak untuk menggoreng.

Cara buatnya pun senang jugak, campurkan kesemua bahan dan gaul sampai sebati sampai adunan boleh dikepal. Kalau nak senang gunakan tangan je...pastikan dibasuh bersih tau. Kepal-kepalkan aje adunan ikut saiz yang kita mahukan. Lepas tu bolehlah digoreng dalam minyak yang panas sampai masak. Sedap dicicah dengan sos cili. Cubalah ya...mungkin kena dengan selera anda.




Thursday, September 3, 2009

CREAM CARAMELTZZ...


Ini pulak dessert untuk berbuka hari Selasa lepas. Memang dah lama tak buat krim karamel ni...tu yang tekak rasa teringin nak makan...lebih-lebih lagi bila tengah puasa ni, macam-macam nak makan. Dah dua tiga hari asyik berbuka dengan kuih yang berasaskan tepung pulut dan santan aje...muak jugak dibuatnya.
Balik aje dari ofis lepas selesaikan apa-apa yang patut terus masuk ke dapur. Nasib baik abang misai akak dah masak nasi dengan kari daging tetel...waah! ini sudah bagus, selamat dah dua perkara...boleh la terus buat krim karamel yang tiba-tiba melintas langsung kat kepala ni. Biasa la tak plan.

Sayur tak payah masak, belasah je buat salad tomato...potong-potong pastu gaul dengan apa yang patut...boleh buat kemudian nanti. Mujur le nak buat dessert ni simple je, boleh la menyambil masak spaghetti goreng yang ditagih oleh anak-anak tu...tapi bersilat jugak le kat dapur...maklum la nak berlumba dengan masa...pastu nak ambik gambar lagi (tu la saja cari pasal)...ish..ish..ish..dalam situasi ni saya gunakan falsafah biar cepat asal selamat berbuka ;). It's all about time management...chewah!

Inilah krim karamel yang dinikmati oleh kami seisi keluarga masa berbuka aritu. Disebabkan dibuat dalam keadaan nak cepat jadi resipinya pun ala-ala ekspres gitu...seperti biasa agak-agak...hehe. Pastikan kukusan disediakan dulu.
Saya gunakan 3 biji telur saiz besar (dipukul- tak kembang pun takpe), 1 tin susu cair, 3 sudu besar gula (sudu plastik buat makan sup/tomyam tu)...gula ni pun ikut le citarasa sendiri, 1 sudu teh esen oren (kebetulan ada dalam peti ais), sedikit esen vanilla dan secubit garam. Campurkan semua bahan ni.
Untuk karamel saya panaskan 4 sudu besar gula (guna sudu yang sama jugak) dalam kuali sampai hangus...bukan hangit tau...nanti pahit pulak. Lepas tu masukkan air agak-agak dalam setengah cawan, jangan banyak sangat nanti cair pulak karamel tu...kacau-kacau dan tuang ke dalam loyang yang saya pun tak perasan berapa inci ukurannya tu...hehehe
Akhir sekali kukuslah sampai masak. Sedia untuk dihidang dan difotograf walaupun terkocoh-kocoh bersiap nak berbuka tapi takpe...macam si Puteri Nora Danish kata "Yang penting...ENJOY!"
*Kalau resipi saya ni tak berapa nak tepat, ubahsuai la ikut kepakaran dan citarasa masing-masing ya. Stail saya ni main taram je...jadi faham-faham ajelah. :)




BADAK BERENDAM KE.....BADAK BERSIRAM?...


Assalamualaikum semua. Inilah hidangan pencuci mulut kami sekeluarga ketika berbuka puasa pada hari Jumaat lepas. Kuih yang berasaskan pulut macam ni memang menjadi kegemaran suami kesayangan saya tu. Sebenarnya buat kuih sendiri ni (kalau ada masa la) sangat menyeronokkan sebab ianya diakhiri dengan kesudahan yang baik...yang menggembirakan seisi keluarga. Bila tengok suami dan anak-anak happy, kita pun suka hati...lebih-lebih lagi bila kena puji...kembang kempis hidung dibuatnya...kih kih kih

Oh! Ya...nampak tak pantun dalam gambar kat atas tu? Macam tak berapa clear kan. Pada sesiapa yang tahap jerebu kat matanya di paras yang merbahaya tu, elok le saya taip balik pantun tu...bukannya apa, takut terkeluar pulak biji mata tu karang...hiii...jangan marah eh.

Kelapa muda dibuat inti,
Pulut diadun hijau berseri,
Lemak manis memikat hati,
Badak berendam nama diberi.

Haa...saya sambung lagi pantun ni ya...ewaahh...cak pong...cak pong...

Badak Berendam nama diberi,
Harum baunya dek pandan wangi,
Manis intinya lemak bersari,
Sekali makan rasa nak lagi...cak pong...cak pong...haa...jawab Cik Kiah oiii...

Seronok pulak berpantun sekali-sekala ni. Maklumlah...di zaman kecanggihan teknologi sekarang ni, bahasa ibunda yang kita guna hari-hari pun dah jadi caca-marba...apatah lagi dengan nasib pantun ni kan. Kalau macam tu, kita berpantun balik la Cik Baba ya...ewaahh...cak pong...cak pong...

Kelapa muda dibuat inti,
Jangan dilupa si gula Melaka,
Rasa sekali melekat di hati,
Suami menjamah tersangatlah suka...cak pong...cak pong...haa mula nak perasan la tuh!


Dahlah...cukup la tu pantunnya. Kita tengok pulak proses buat Hippo Berendam aka Badak Berendam kita ni. Kat atas tu inti kelapa dengan tepung pulut yang dah dibulat-bulatkan...tunggu giliran nak masuk inti.


Ini proses memasukkan inti ke dalam tepung pulut tadi. Jangan isi banyak sangat...takut tersembul pulak isi perutnya karang.

Lepas tu kita tutup dan bentukkan kuih ni. Sebenarnya saya nak buat bentuk bulat macam kuih koci tu tapi entah macam mana...leceh pulak...asyik bocor je sana-sini...habis terkorban 2-3 ekor badak tak cukup bulan saya tu...huhuhu

Penyudahnya inilah bentuk yang saya rasa mudah dibentuk. Sebelum tu saya sapu minyak masak kat tangan supaya senang nak bentukkan. Lepas ni kena rebus macam nak buat kuih Buah Melaka tu.

"Sila tumpukan perhatian anda kepada adunan hijau berbentuk lonjong tu! Bukan pada jari-jemari comel (ek eleh, comel ke?) yang berminyak-minyak tu...faham murid-murid?"

Inilah rupanya selepas direbus...warna kuih ni semulajadi daripada jus daun pandan 100%, tiada pewarna makanan langsung.



Badak Berendam yang dah siap. Biasanya orang kukus dengan santan pekat tapi saya masak santan tu berasingan...kemudian saya pekatkan dengan sedikit air tepung gandum. Lepas tu masa nak makan curah aje atas green hippo tu (bukan blue hippo tau). Ni la jawapannya untuk tajuk posting ni. Badak Berendam saya ni dah jadi Badak Bersiram...hehehe...pandai-pandai je kan.
Tak kisahlah tu...berendam ke bersiram ke...yang penting anak-anak saya kata...mmmm...sedapnya mama. Kalau abahnya kata tak sedap, masih selamat lagi...dia sorang je. Tapi kalau anak-anak yang tiga orang tu komplen tak sedap...naya saya!...siapa nak habiskan makanan tu???

Akhir sekali terimalah pantun dua kerat saya ni ,

Badak Berendam...Badak Bersiram,
Apa-apa ajelah...janji mengancam!............cak pong...cak pong...mmuaahaha