Friday, November 19, 2010

SAMBAL HIJAU PETAI JERUK

Minta maaf la kepada sesiapa yang bertandang ke sini ya.  Merata-rata bau petai.  Mana tidaknya...makan petai, mandi petai, tidur dan mimpi semuanya petai. Pendek kata di sana-sini asyik petai je.  Erkkk...burpp...alhamdulillah, sendawa pun bau petai...eheheh...Amacam?  Jom kita tengok apa yang boleh dibuat dengan petai jeruk ni ya...tapi kepada sesiapa yang anti-petai...entri ini bukan untuk anda...hehehe

Hmmmm...inilah sambal hijau petai jeruk yang saya suka sangat apatah lagi kalau dimakan bersama dengan nasi panas dan ikan goreng...tak payah lauk lain...jangan kata mak mertua,  suami duduk kat sebelah pun tak perasan.  

Saya gunakan cili api dan cili hijau yang direbus sekejap,  lepas tu ditumbuk dengan ikan bilis,  bawang putih dan sedikit sahaja halia sebagai pembangkit aroma.  Sementara itu tumiskan bawang merah yang dimayang nipis sehingga sedikit garing...kemudian masukkan cili yang telah ditumbuk.  Bila dah naik minyak baru masukkan petai jeruk dan beberapa biji cili api...bab cili api yang dimasukkan sebiji-biji tu memang penting sangat untuk Encik Suami.  Lepas itu bolehlah ditambah garam dan gula ikut selera masing-masing.  Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng. Beres! 

Seperti biasa saya masak main agak-agak aje...jadi sukatan bahan-bahan tu  timbang-timbanglah sendiri ya. Apa yang menariknya sambal ni di mata saya ialah warna minyaknya yang berwarna hijau tu...macam warna minyak zaitun yang extra dara...hehehe



Sunday, October 24, 2010

SALAI sampai kering...GORENG sampai garing!

Issshhh...dahlah kena salai pastu kena goreng pulak?! Azab betul bunyinya ya. Mmm...siapalah yang dijatuhkan hukuman mandatori salai sampai kering dan goreng sampai garing tu ek? Macam ganas aje bunyinya...huhuhu...mengerikan.  Memang haru kalau ada undang-undang kat dunia ni yang jatuhkan hukuman macam tu.  Selalunya yang kita dengar Rotan 100 kali ke...Gantung Sampai Mati ke...atau yang sewaktu dengannya.  Ishhh...simpang malaikat 44!  Okaylah...yok kita siasat apa kes sebenarnya ni...
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
Hehehehehehhh...Pisang salai rupanya! Maaf dengan kualiti gambar yang kurang memuaskan ni. Terlebih reflection dari flash kamera telefon saya ni...huhuhu...

Inilah rupanya pisang yang dah kena salai.  Gelap dan berkilat warnanya.  Aromanya pulak unik dengan bau pisang bercampur asap...tapi ada orang tak suka. Biasalah selera masing-masing.  Pisang salai ni memang popular kat Johor.  Masa nak balik ke KL tempohari saya singgah di pekan Air Hitam dan membeli pisang salai ni di situ. Walaupun berasal dari Johor,  saya sendiri tak pernah tengok macam mana proses membuat pisang salai ni...tahu makan je!  Apa yang saya dengar,  pisang yang selalu digunakan adalah pisang Awak tapi saya sendiri pun tak pasti.  Pisang salai ni boleh dimakan terus macam jajan dan sedap juga kalau digoreng dengan tepung macam nak buat pisang goreng...macam dalam gambar kat bawah ni...

Haaa...ini pulak pisang salai yang dah digoreng.  Rangup di luar,  lembut di dalamnya.  Saya gunakan tepung gandum dengan sedikit air kapur dan garam je.  Kalau guna tepung beras yang dibancuh dengan telur lagi sedap.  Sesuai dihidangkan bersama teh atau kopi panas untuk dinikmati seisi keluarga di petang hari sambil menonton tv...yummy nak lagi!

Saturday, October 16, 2010

LUNCH di petang hari...

Memang selalu jugak buat kerja macam ni...makan tengahari di waktu petang...memang tak trampil...huhuhu...tolong jangan ikut ya!  Dah la lambat...menunya pun tersangatlah ringkas.  Saya cuma masak mee kuning berkuah aje...tak ada yang istimewa sangat pun tapi mudah disediakan dan rasanya pun boleh tahan jugak.  

Mee kuah saya ni memang tak guna banyak bahan.  Saya cuma gunakan 2 biji bawang besar yang dimayang5 biji bawang putih ditumbuk kasar...saya ni suka makan bawang putih...kalau nak letak 2 biji pun takpe...ikut la selera masing-masing,  2 - 3 sudu besar taucu yang dilenyek1 paket bebola ikan yang dipotong nipis2 sudu teh serbuk ikan bilis1 paket mee kuning dan air secukupnya untuk kuah. Jangan lupa minyak untuk menumis.

Cara nak memasaknya ikut aje turutan ni ya :-
(1) Tumis bawang besar yang dah dimayang  sampai sedikit garing (2)  Kemudian barulah masukkan bawang putih yang ditumbuk...jangan biar hangus (3)  Masukkan taucu yang dilenyek...kacau sampai naik wangi (4)  Tuang air secukupnya dan masukkan serbuk ikan bilis (5) Jangan lupa masukkan bebola ikan yang dah dihiris...biarkan kuah mendidih (6)  Masukkan mee kuning...garam tak perlu sebab taucu dan serbuk ikan bilis sudah memadai...kalau nak buat banyak eloklah mee dicelur berasingan.

Menu ni sesuai untuk budak-budak yang tak suka makanan pedas...tapi untuk tekak yang tak boleh berpisah dengan rasa pedas,  bolehlah sediakan sambal lada kering yang ringkas macam yang saya buat ni.  Mula-mula saya goreng halia yang dimayang halus dan memanjang...goreng sampai agak garing tau.  Angkat halia goreng dan asingkan.  masukkan 2 sudu besar serbuk lada kering yang kasar ke dalam minyak gorengan halia tu...api dapur biar kecil kalau tak hangus lada tu...pahit dan tak sedap pulak nanti.  Masukkan kicap cair dan gula.  Masukkan halia goreng tadi.

Bila nak makan mee kuah taucu ni letaklah sambal tu, perahkan limau dan guntingkan rumpai laut kalau suka.  Kalau anda phobia dengan rumpai laut tu...sila abaikan je.  Kami anak-beranak takde masalah...ia menambah perisa mee kuah taucu ni dan rasanya pun unik sikit.  Hmmm...benda sikit memang terasa sedap...lain kali nak buat lagi.  Cubalah!

Friday, October 15, 2010

Helllooooo.........I'm back with SOOOSHEEEE!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera untuk semua...semoga sihat dan ceria selalu. Sebenarnya saya sedang menguatkan semangat untuk memasukkan entri  baru ke dalam blog ni...yelah kan...memang lama betul saya senyap dan buat derk je tak menjenguk ke sini.  Tak taulah kenapa,  semenjak cuti raya hari tu saya rasa tak larat nak mengadap laptop lama-lama...cepat aje mata ni mengantuk tak hengat!  Sekarang pun dah terasa berat mata saya ni...heee...sabarlah wahai mata oiii...

Ok la...sebelum bertambah kronik sindrom zzzzzz saya ni,  baik saya kongsi cepat-cepat agenda saya pada hari Sabtu lepas bersama keluarga.  Apalagi kalau bukan projek makan-makan anak-beranak.  Kami berSUSHI lagi di hujung minggu.


Ini persediaan untuk membuat filling sushi.  Lemon tu saya guna untuk membuat nasi sushi...sebagai ganti kepada campuran cuka.

Jejari ketam saya potong nipis secara memanjang dan timun/kyuri dibersihkan dan kemudian disagat halus.

Bahan-bahan yang saya guna untuk filling jejari ketam.  Saya perisakan dengan taucu,  mayonnaise,  serbuk lada putih dan lada hitam,  garam dan gula secukup rasa.


Taucu yang saya lenyek ni sebagai penambah perisa filling jejari ketam tu...kalau tak letak pun tak apa...selalunya saya tak letak tapi kali ni saya nak ada bau miso pada filling ni.

Ok lah...jom kita tengok macam mana nak sediakan nasi untuk sushi saya ni.

Inilah rupa beras yang saya guna...selalunya saya guna beras sumo cap mulut ternganga luas tu...sepaket dalam RM 9.90.  Kalau tak pun saya belasah beras wangi je...tapi kali ni saya guna beras yang mahal sikit sebab beras yang selalu saya guna tu dah kehabisan stok.  Untuk 2.5kg harganya RR26.00.  Beras ni kontot-kontot aje dan melekit bila dah dimasak.


Nak masak beras ni pun tak susah.  Sukatannya lebih kurang 1 cwn beras sushi + 1 1/3 cawan air...atau paras air di dalam periuk adalah lebih kurang ukuran seruas jari telunjuk sahaja...jangan lebih air.
 

Nasi yang dah masak disi ke dalam bekas yang sesuai...kalau boleh gunakan mangkuk yang diperbuat daripada kayu supaya dapat menyerap lembapan daripada nasi yang kita gaul dengan jus lemon tu.  Sambil mencurah jus lemon jangan lupa membalik-balikkan nasi yang panas tu.  Kalau nak cepat sejuk,  halakan kipas angin ke bekas nasi tu.

Untuk bancuhan jus lemon tu,  saya perah 4-5 biji lemon yang kemudiannya ditambah dengan 1 suduteh serbuk pati ikan bilis, garam dan gula yang cukup untuk seperiuk nasi.

Haaa...sekarang bolehlah kita mula membuat sushi. Mula-mula tangan perlu dibasahkan...barulah senang nak pegang nasi yang melekit tu.  Ambil nasi secukupnya dan ratakan di atas permukaan Nori (rumpai laut).  Tinggalkan beberapa cm/ inci di bahagian tepi macam yang ditunjukkan di dalam gambar di atas.

Lepas tu boleh la kita mengisi salad jejari ketam  di atas nasi.


Yang ini timun dan jejari ketam sahaja.



Aktiviti menggulung sushi menggunakan sushi mat.


Tadaaaaa.....inilah rupanya sushi yang dah digulung.













Haaa...akhirnya siap juga sushi ni untuk anak-anak ya.

 
Yang mana lebih tu masukkan di dalam plastik ziploc ni dan simpan di dalam peti ais.  Ini sajalah yang sempat saya upload kali ni.  Oh ya...kalau nak tengok agenda sushi saya di tempat lain silalah layari http://itulahkehidupan.blogspot.com/2010/10/sushi.html

Sekian,  wassalam...bye.

Thursday, September 16, 2010

HARI RAYA


Salam untuk semua...baru berkesempatan untuk berblog kembali.  Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan salam aidilfitri...maaf zahir dan batin kepada semua yang pernah singgah di sini...juga untuk semua teman dan saudara-mara saya.  Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia yang disambut pada  hari ini.  Salam ceria dan salam 1Malaysia.

Tuesday, August 31, 2010

Salam MERDEKA untuk semua rakyat Malaysia!....."Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53"


 

Salam untuk semua.  Alhamdulillah...terasa bersyukur sangat kerana dilahirkan di bumi bertuah Malaysia yang tercinta ni.   Semoga Malaysia akan sentiasa aman dan tenteram...jauhkanlah daripada sebarang kekacauan dan ketidakstabilan yang mampu mengganggu-gugat perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ni.  Kita memang wajib berterima kasih kepada semua tokoh pejuang kemerdekaan yang telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mencapai sebuah kemerdekaan dan mempertahankan kedaulatan negara ini.  Hari ini telah 53 tahun negara kita merdeka...oleh itu adakah kita sanggup untuk menghancurkan apa yang telah kita perolehi?  Persoalan inilah yang perlu kita tangani dengan jiwa yang patriotik dan berintegriti!  Kalau bukan kita...siapa lagi yang sepatutnya memelihara imej dan maruah tanahair berdaulat ini?  Atas dasar ini amat penting untuk semua rakyat Malaysia bersatu...lupakan segala perbezaan yang ada...yang penting kita mencapai matlamat yang sama...KEAMANAN!

Sememangnya kita pencinta damai...katakan tidak kepada segala bentuk kekerasan,  penindasan,  kesombongan,  kerakusan dan kezaliman.  Adalah amat malang sekiranya ada di antara kita merasa sangat 'merdeka' untuk melakukan segala kebejatan nafsu serakah haiwani itu tadi...nauzzubillah.  Namun,  hakikat itulah yang dilakukan terhadap saudara muslim kita di luar sana...FREE PALESTINE!


Kepada adik-adik dan generasi muda,  hayatilah erti kemerdekaan yang sebenarnya...jangan alpa dengan segala ke'merdeka'an yang dinikmati malah ada yang dicipta sendiri dengan lebih menggerunkan lagi.  Setiap hari di media cetak mahupun elektronik,  cerita bayi dibuang bagaikan sampah sudah menjadi berita wajib untuk kita...bagaikan tiada penamat.  Nampaknya kita belum merdeka lagi...masih dibelenggu dan dijajah dengan budaya hedonisme yang berpaksikan konsep kebaratan. Ya...dikatakan bahawa syaitan dibelenggu di bulan Ramadhan ini dan adakah kita termasuk di dalam golongan yang seronok untuk turut bersama-sama syaitan yang dibelenggu itu?  Atau kita pula yang sukarela mengambil-alih tugas-tugas syaitan yang direjam?  Semuanya gara-gara tidak memelihara roh Ramadhan dan gagal menghayati  erti kemerdekaan yang sebenar.  Wallahu'alam.

Cuba baca berita di bawah ini :-
ARKIB : 30/08/2010

Bayi digantung pada tiang papan tanda

SHAH ALAM 29 Ogos - Masih ada pihak yang tergamak membuang bayi yang masih hidup - kali ini bayi lelaki, dipercayai baru dilahirkan dan ditemui dalam sebuah beg kertas serta digantung pada sebatang tiang papan tanda kira-kira pukul 5.30 petang ini.
Ketika ditemui di persimpangan lampu isyarat berhampiran kondominium Brunsfield di Seksyen 13 di sini, bayi malang itu masih bertali pusat.
Menurut Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, bayi itu ditemui oleh seorang lelaki tempatan dalam keadaan berbalut dengan kain batik.
"Polis dimaklumkan mengenai penemuan yang masih dalam keadaan sempurna malah, urinya masih terlekat," katanya kepada pemberita di sini lewat petang ini.
Berikutan penemuan itu, Azam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pembuangan bayi tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Kes ini, katanya, disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang bayi.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_06.htm

Hmmm...nampaknya entri saya kali ni agak serius sikit.  Ok lah mudah-mudahan sambutan hari kemerdekaan yang jatuh pada Ramadan al-Mubarrak 1431H ini akan beroleh rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.  Semoga para pemimpin negara kita diberi kebijaksanaan,  kesabaran dan petunjuk agar dapat memimpin Malaysia yang unik ini ke arah kecemerlangan.


"1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI"

Saturday, August 28, 2010

Jus 'TEMUN'


Sebenarnya inilah minumannya kalau saya teringin nak minum jus timun dengan kelapa laut macam dalam entri yang lepas...tapi malas nak memprosesnya...maklumlah kena pakai blender biasa aje kan,  lepas tu nak kena tapis lagi...kan leceh?...Lain la kalau ada power juicer yang keluar kat tv dalam Smart Shop dulu tu bolehlah layan hari-hari. 

Tapi yang ni senang aje sebab kaedah ni sesuai sangat bila paras hormon malas begitu tinggi di dalam sistem tubuh masing-masing.  Yang penting...tolong hafal formula ni eh!
Air tebu + timun sagat + ais ketul = Jus TEMUN.....hehehe

Sesuai diminum ketika berbuka puasa...sejuk...nyaman dan segar...alhamdulillah.

Sama Tapi Tak Serupa.....

Seronok betul bila saya jumpa benda ni kat Carrefour Wangsa Maju hari Sabtu yang lepas.  Akhirnya ada jugak benda ni kat sana.....saya pun terus beli benda ni dengan harga RM 56.90 sebiji.  Hmmm...lepas ni boleh la saya buat Takoyaki dengan menggunakan acuan  ni...kalau tidak,  sebelum ni saya asyik gunakan acuan kuih Cara aje.

Sunday, August 22, 2010

Tukar Selera...

Beberapa hari berpuasa ni asyik makan nasi aje masa berbuka...terasa jemu pulak.  Anak-anak pun serupa macam saya.  Jadi,  petang semalam kami berbuka dengan baguette bawang putih dan yang sewaktu dengannya...ala2x western kononnya.

Baguette ni Cheff Hubby beli di Delifrance,  Carrefour Wangsa Maju...bawak balik dua batang.  Saya potong serong dan sapu mentega yang dah digaul dengan bawang putih cincang...sumbat dalam oven...bakar!

Hmmm...lazat dan sungguh nikmat.  Si Hadi mencicah baguette bawang putih ke dalam sup cendawan mama.  Kali ni saya guna cendawan butang yang segar...bukan yang dalam tin tu.  Oh! Ya!...Untuk Napi,  resipinya later ok.

Black pepper beef strips yang digril pun ada.  Lembut daging ni...sedap dimakan dengan acar timun campur epal yang kat bawah ni.

Ada timun,  epal merah,  bawang merah yang disagat nipis.  Saya rendam dalam air ais dan toskan.  Masukkan garam,  gula dan perahan lemon.  Kalau suka pedas tambah cili api.  Nak nampak menarik saya letak buah anggur merah yang manis tu. Sejukkan dalam peti ais untuk kekalkan kesegarannya.


Yang ni pulak brussel sprouts yang sedap dan manis...ala2x kobis yang sangat mini.  Ada sosej dan kentang serta cendawan butang segar yang disaute dengan bawang putih dan bawang merah dengan gunakan butter.  Saya tambah Italian herbs dan lada hitam...ringkas aje.  Itulah dia menu iftar petang semalam.

Hmmm...Baru kejap tadi Cheff Hubby tanya,  "Bu...petang ni nak masak apa pulak?"...tapi soalan tu dibiarkan tidak berjawab sebab manusia yang dipanggil 'bu' atau pun 'ibu' (panggilan manja la konon)ni tengah mengadap laptop...khusyuk memasukkan entri terkini. ;)






Jus Timun

Mmm...memang segar sangat dapat minum jus timun yang sejuk masa berbuka puasa.  Minuman ni memang kegemaran saya dan Cheff Hubby.  

Kalau buat jus timun,  selalunya saya suka masukkan buah kelapa laut dalam tin yang jenis plain syrup tu je...tapi yang dalam gambar ni saya guna kelapa laut bermadu sebab yang jenis biasa tu dah tak ada kat kedai yang selalu saya pergi tu.  Kadang-kadang saya letak longan dalam tin...jus ni memang menyegarkan tekak...nyaman!

Wednesday, August 11, 2010

Noriko San...layaaannnn...

Sorry Noriko San!...apa-apa pun awak layan ajelah gambar ni eh! 



Entri Untuk Noriko San

Hmmm...jangan ditanya siapa si Noriko San tu ya.  Biar saya aje yang tau.  Entri ni saya tujukan untuk dia yang mempunyai hobi yang sama dengan saya iaitu...MAKAN!...hahaha...betul tak Noriko San?  Mungkin boleh bagi idea untuk menu berbuka esok...kononnya lah...hehehe...

Tapi kan Noriko San, disebabkan dah lewat malam...esok nak bangun sahur pulak...maka saya tepek aje gambar makanan yang saya masak minggu lepas tu.  Awak layan ajelah ya.  Lagi pun saya masak main ikut suka hati aje...tak ada resipi yang tepat pun...heee

Hah...inilah dia Sambal Kerang Petai Bersantan yang saya masak minggu lepas. Masakan ni saya guna tiga jenis lada.  Ada lada hijau,  lada yang orang Kelantan buat masak solok tu pun saya guna dan yang penting cili api mesti ada.  Lada hijau tu saya kisar dengan ikan bilis, bawang putih, bawang merah dan sedikit halia.  Serai saya mayang aje.  Saya didihkan sebahagian santan pekat dan saya masukkan bahan yang dah dikisar  tadi bersama dengan serai.  Masak dengan santan pekat tu sampai agak kering dan keluar bau macam tahi minyak...lepas tu masukkan lada solok yang dihiris-hiris dengan isi kerang yang direbus terlebih dahulu.  Masukkan petai dan ali api kemudian tuang lebihan santan dan masak sampai kuahnya pekat dan agak kering.  Garam jangan lupa pulak eh. Kuantiti bahan-bahannya tu agak-agak sendiri lah ya.

Sambal kerang ni kalau selalu dihangatkan sampai kering lagi sedap...makan dengan nasi himpit pun sesuai.  Mudah disediakan dan sedap pulak tu.  Enjoy!


Ramadhan Datang Lagi...

Assalamualaikum semua...agak lama saya menyepi tanpa sebarang entri terkini.  Macam biasalah...sibuk, penat, tak larat dan yang sewaktu dengannya. Sedar tak sedar esok kita  akan berpuasa...syukur alhamdulillah kerana masih diberi kehidupan dan kesihatan yang baik untuk menyambut kedatangan Ramadhan pada kali ini.  Ini merupakan Ramadhan kali ke-2 saya di dunia blog.  Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua sanak-saudara, sahabat-handai, para pelajar dan bekas pelajar saya tidak kira di mana sahaja anda berada.  Semoga kita memperolehi rahmat, keberkatan dan keampunan di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Monday, July 5, 2010

TANDUK BUKAN SEBARANG TANDUK...

Bukan tanduk lembu...bukan tanduk kerbau atau rusa...bukan juga tanduk kambing gurun apatah lagi tanduk kucing...eh! kucing ada tanduk ke? Habis...kucing bertanduk tu apa pulak ek?  Okaylah...tanduk yang saya nak cerita ni istimewa sebab ianya sejenis makanan iaitu kuih goreng berintikan sambal sardin.  Kuih ni glamer kat ofis saya sebab  taukenya adalah rakan sekerja saya iaitu Mr. 'S' yang tak kurang glamernya jugak...Kuih ni dijual dalam bentuk sejukbeku.

Nama tanduk tu muncul sebab bentuk kuih ni yang tajam kat bahagian hujungnya.

Beginilah rupanya tanduk yang telah digoreng.

Tengoklah tu inti sambal sardin yang memang sesuai sangat dengan kulitnya yang garing di luar tapi lembut di dalam.  Memang sedap dan berbaloi-baloiii... harganya pun memang sangat berpatutan.  Semoga Mr. 'S' terus maju dengan tanduk-tanduknya...

Oh! Ya! Sambil tengok orang tanduk bola di musim World Cup ni eloklah pekena tanduk sambal sardin dengan kopi panas...lazat dan nyaman gitu.

Sunday, July 4, 2010

Kek Lapis Main-Main...

Hehehehhh...saya memang main-main masa buat kek ni sebab saja nak bereksperimentasi dengan inti epal yang saya dah buat sebelum ni.  Rupa kek ni pun tentulah berbeza dengan kek epal kayu manis yang saya ceritakan pada entri sebelum ni ya...sebab yang tu tak berlapis.

Pandangan dari atas kek lapis main-main saya ni.

Ini pulak pandangan dari tepi.  Lapisannya tak sekata...hasil kerja saya yang sangat kasar dan main-main...heee...belasah aje...huhuhu


Bila dah dipotong, beginilah rupanya kek lapis yang dibuat oleh saya yang kekurangan skill ni.  Letih jugak nak buat kek macam ni...sabar kena lebih.  Memang respect la dengan orang yang buat kek lapis Sarawak tu kan?  Walaupun teknologi melapis kek ni tak canggih,  saya nak tinggalkan jugak resipinya kat sini...


Ini bahan-bahan dan cara yang saya gunakan :-
5 biji putih telur, 1/2 cawan gula dan 1 sdt cream of tartar dipukul kembang sampai dapat stiff peak tu eh...Dalam mangkuk yang lain,  pukul 5 biji kuning telur bersama-sama 3 sdb susu pekat manis dan 1 sdt ovallette sampai kembang.  Kemudian masukkan ke dalam adunan putih telur tu dan gaul rata...buat dengan berhemah ya,  lepas tu masukkan 1 cawan tepung sedikit demi sedikit...kaup-kaupkan perlahan-lahan...yang ni pun kena buat dengan sopan-santun sambil tersenyum simpul...hehehe.  Bila dah agak sebati masukkan 1/3 cawan minyak sayuran dan 1 sdt esen vanilla...kacau rata. 


Bahagikan adunan kepada dua bahagian ke dalam mangkuk yang berasingan.  Satu bahagian diwarnakan merah dan satu bahagian lagi saya biarkan dengan warna yang asal.  Masukkan sesenduk adunan warna asal ke dalam loyang yang digris,  letak INTI EPAL seketul-seketul di atasnya...lepas tu bakar guna api atas dan bawah.  Apabila masak, keluarkan dan ulang proses tadi...guna adunan warna merah pulak ya.  Kali ni bakar guna api atas pulak.  Habiskan adunan tu dengan mengulang proses yang sama tadi. 


Fuhh!...panjangnya karangan,  boleh faham ke?  Buat-buat faham ajelah ya...heee.





Kek Epal Kayu Manis

Hai semua...minggu lepas saya buat kek ni selepas terpandang epal Royal Gala yang masih banyak lagi di dalam peti ais tu. Selepas berhempas-pulas memukul adunan secara manual ...saya guna wire whisk je sebab malas nak keluarkan mixer yang saya simpan entah kat mana agaknya tu...hehehe...inilah hasilnya kek epal saya.

Sebelum........


Selepas........

Tapi saya tak sempat ambil gambar step by step...tak cukup tangan nak buat...maklumlah one man show...

Setelah dibuat keratan rentas ke atas kek ni...apa kata kita tengok isi perut dia pulak?...Jom layan...


Haa...inilah rupanya isi perut kek epal saya yang harum dengan bau kayu manis yang menusuk lubang hidungku...padahal dulu saya tak suka bau kayu manis dalam kuih atau dessert. Boleh mabuk dibuatnya tapi kini tidak lagi...hehehe

Okaylah saya sertakan resipinya di bawah ni ya...tapi kalau kek tu nanti bantat ke mendap ke...jangan la salahkan saya pulak.  Resipi kek yang saya guna ni adalah hasil  tindakbalas spontan saya selepas terpandang epal yang dah lama sangat beristirehat di dalam peti ais rumah saya ni.

Bahan-bahan dan cara membuatnya :-
150 gm mentega, 1/2 cawan gula dan 3 sdb susu pekat manis dipukul sehingga kembang dan berkrim. Masukkan 1 sdt ovallette dan 4 biji telur saiz A satu persatu, pukul lagi sampai kembang.  Masukkan 1 sdt esen vanilla dan 1 sdt parutan kulit lemon.  Kemudian masukkan 1 3/4 cawan tepung gandum yang telah diayak dengan 3/4 sdt soda bikarbonat...kaupkan adunan dan akhir sekali masukkan 1 cawan *inti epal* dan kaupkan lagi adunan sehingga rata.  Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah siap digris.  Bakar kek sehingga masak ikut kesesuaian suhu oven masing-masing.

Ini pulak bahan-bahan yang saya guna untuk buat inti epal tu ya...
1.  3 biji epal Royal Gala - potong dadu, biar besar sikit
2.  2 sdb gula...saya guna gula melaka
3.  1/2 cawan air
4.  1 sdb jus lemon 
5.  1/2 sdt serbuk kayu manis 

Cara membuatnya senang je...
Satukan bahan no. 1, 2 dan 3 di dalam periuk yang sesuai.  Masak sampai epal empuk dan air gula pekat dan agak kering.  Masa ni boleh bubuh jus lemon dan serbuk kayu manis...dah siap.  Masukkan ke dalam mangkuk dan sejukkan dulu sebelum digunakan. 

Kek ni sesuai sangat untuk hidangan minum petang seisi keluarga. Aromanya sungguh memikat selera dan rasanya pun sedap...ya ianya sedap di tekak saya seisi keluarga...mungkin tidak pada tekak orang lain...hehehe...tapi kalau nak tau cubalah dulu!  Tak kenal maka tak cinta.







Monday, June 14, 2010

Cheff Hubby's Rendang...versi belasah jerr

Kali ni saya nak kongsi resipi rendang pulak...tapi bukan hasil air tangan saya tau. Rendang ni dimasak oleh Cheff Hubby saya yang macho lagi gagah perkasa tu...hihihi...kena lah puji lebih sikit...baru boleh dapat resipi walaupun katanya belasah jerr...tapi kan bukan nak bias la ya...rendang ni memang serius sedap tau. Kalau makan dengan nasi impit atau pun lemang...memang mantop.
 
Jom kita tengok apa bahan-bahan yang Cheff Hubby gunakan untuk memasak rendang yang menggoda ni.

Bahan-bahannya :-
Daging lembu 1 kg
Santan daripada 2 biji kelapa
Kerisik 3 sudu besar
Serai 3 batang
Halia anggaran 3 inci
Bawang besar 1 labu
Bawang putih 3 ulas 
Serbuk lada kasar 2 sudu besar
Serbuk kari 1 sudu besar
Guka Melaka 1 ketul (saiz kecil) - ikut selera masing-masing
Kayu manis 2 batang (anggaran 2 inci setiap satu)
Garam secukup rasa

Cara memasaknya Cheff Hubby kata tak payah taip panjang-panjang...senang aje. Masukkan semua bahan tu dalam periuk atau kuali...tak payah nak tumis...rendang aje sampai daging empuk dan kuah menjadi agak kering. Senang kan? Sambil menunggu rendang masak boleh menyambil buat kerja lain. Memang boleh belasah jerr tapi jangan sampai berkerak pulak ya...silap haribulan hangus pulak rendang tu.

Sila beri perhatian ya tuan-tuan dan puan-puan...food presentation yang agak skema dan poyo ni hanyalah sementara aje...bila dah nampak makanan yang sedap depan mata tak sempat nak bertable manner pun...apa lagi?...belasah jerr...