Sunday, May 23, 2010

Ayam Masak Lemak Daun Pegaga

Ayam masak lemak daun pegaga ni adalah hidangan tengahari untuk hari Ahad yang ceria. Saya memang suka makan daun pegaga...tak kira yang mentah atau pun yang telah dimasak. Dulu emak saya selalu masak gulai lemak daun pegaga dengan kacang hijau...sedap betul walaupun direncah dengan ikan bilis dan bawang aje.
Lauk yang saya masak ni mudah aje...yang lecehnya nak bersihkan dauh pegaga tu. Tumbuk 3 inci halia dan kunyit hidup, 3 ulas bawang putih, 1 labu bawang merah dan 10 biji cili api. Masukkan potongan ayam (seekor) yang telah dibersihkan dan bahan tumbuk serta 4 batang serai yang telah diketuk ke dalam periuk. Masukkan santan pekat daripada 2 biji kelapa...tenggek periuk yang bertutup di atas api yang kecil...biarkan ayam kecut kemudian masukkan setengah ikat daun pegaga dan sekeping asam gelugor. Tutup periuk dan biarkan kuah mendidih dan ayam betul-betul masak...api biar kecil. Tambah garam secukup rasa. Kalau suka tambah sedikit gula untuk seimbangkan rasanya. Mudah aje kan?

Entri yang berikutnya saya akan cerita pasal Pecal Kangkung pulak.

MENU HUJUNG MINGGU

Hai...Salam mesra di hujung minggu! Apa aktiviti menarik di hujung minggu ni ya? Bagi saya dan famili, masa yang berharga ni digunakan sepenuhnya untuk bergedik santai aje di rumah sambil menonton DVD dan semestinya...makan! 

Hari Sabtu semalam saya masak ayam panggang yang mudah menggunakan convection oven yang sangat berjasa tu. Ayam tu saya perap dengan bahan yang sangat ringkas iaitu sos tiram, lada hitam dan sedikit garam...kemudian dipanggang sehingga masak. 

Ayam panggang ni sedap dimakan dengan sos pudina yang selalu dimakan dengan roti nan dan ayam tandoori tu. Sebenarnya mudah aje nak menyediakannya...kisar seikat daun pudina (batangnya jangan diambil) bersama 2-3 ulas bawang putih...kalau tak suka kurangkan sendiri ya, 5-10 biji cili api...sila ukur baju di badan sendiri...kalau tak tahan pedas tu pandai-pandai la adjust) dan campurkan sedikit air masak...jangan terlalu banyak...bubuh nak bagi syarat boleh dikisar aje. Kisar sampai halus teksturanya. Lepas tu campurkan susu cair...anggaran 3-4 sudu besar dan campurkan perahan jus daripada setengah biji lemon...tambahkan garam dan gula secukup rasa dan kacau rata. Nah...siap untuk dihidang macam kat dalam gambar tu. 

Saya juga sediakan salad epal Fuji dan mangga yang ringkas sebagai pembuka selera. Memang mudah menyediakannya...

Sagat sebiji epal Fuji, sebiji buah mangga dipotong kiub, sebatang timun Jepun dihiris nipis dan menyerong serta koyak-koyakkan aje iceberg salad tu...bubuh kesemuanya dalam mangkuk. 

Lepas tu masukkan 3 ulas bawang putih yang telah disagat halus, empat biji cili api, satu sudu teh serbuk pati ikan bilis Tumix dan satu satu sudu teh serbuk cili kasar ke dalam salad tu. Perahkan setengah biji lemon dan tambah garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan 1 sudu besar *ikan bilis kisar. Gaulkan salad dengan rata supaya rasanya mesra...pastikan masam, manis dan masinnya seimbang. Memang gandingan yang mantap untuk ayam panggang tu. Cubalah ya...boleh disesuaikan dengan citarasa dan kreativiti masing-masing pulak lepas ni.

*Basuh dulu segenggam ikan bilis dan sangan di dalam kuali tanpa minyak...untuk keringkan ikan bilis sebenarnya. Lepas tu boleh dikisar kering di dalam blender. Simpan di dalam bekas kedap udara.

Tuesday, May 11, 2010

KONNICHIWA !....

Aduhai...nak cakap Jepun la pulak, dahlah lama betul blog ni ditinggalkan sepi tanpa cerita menarik...ehem...macamlah menarik sangat entri yang lepas-lepas tu kan?..Sebenarnya kalau ikutkan hati memang tergedik-gedik saya nak masukkan entri baru setiap minggu...tapi apakan daya...aku insan yang lemah tidak berdaya...kita hanya merancang, tuhan yang menentukan...ceh ceh ceh...dah mula nak propa la tu. 

Okaylah kita lupakan semua tu...baik saya cerita pasal salah satu makanan kegemaran anak-anak saya iaitu sejenis makanan Jepun yang tidak perlu diperkenalkan lagi...yang memang dah terkenal seantero dunia disebabkan keistimewaan dan keunikannya. Apa lagi kalau bukan Sushi!  

Jom kita layan...........

Saya dan anak-anak bergotong-royong buat sushi ni...kenyang perut dan puas hati. Oleh kerana khusyuk sangat membuatnya saya tak sempat ambil gambar step by step proses pembuatannya. Insyaallah di lain masa saya akan usahakan juga.

Kali ni saya tak gunakan beras sushi yang kontot-kontot tu...stok dah habis. Jadi saya gantikan dengan beras wangi aje...yang penting beras ni pun jenis melekit dan tak seroi macam beras basmathi tu. Saya tanak 3 cawan beras...pastikan jangan lembik...nanti tak jadi pulak sushi tu. Kalau nak tengok macam mana cara nak sediakan nasi untuk sushi ni boleh tengok di sini. Saya gantikan cuka dengan jus perahan daripada 3 biji lemon yang dicampur dengan 3 sudu besar gula dan 1 sudu teh serbuk pati ikan bilis.

Mmmm...sedap dimakan dengan kicap cair dan wasabe. Dalam tu ada jejari ketam, timun dan isi ikan patin panggang lada hitam. Selalunya saya gunakan ikan keli yang rasanya jauh lebih sedap daripada ikan patin. Oleh kerana ikan keli yang dicari tak dapat, cik abang saya cadangkan diganti dengan ikan patin aje...yang seronoknya sushi  saya ni tetap laku. Setiap kali siap digulung dan dipotong ia hilang sekelip mata dimakan dengan penuh berselera oleh anak-anak saya. Lepas ni saya nak guna ikan keli macam yang selalu saya buat sebelum ni...rasanya macam unagi sushi.

Ini pulak sushi yang saya buat hari sebelumnya dengan isi jejari ketam mayonnaise dengan timun Jepun. Kualiti gambar yang ini tak berapa baik...maaflah ya. Cukuplah dulu untuk kali ini...mata dah mengantuk sangat ni...SELAMAT MALAM!





Wednesday, March 17, 2010

...PATRIOTISME...

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia!...Sebenarnya saya baru aje habis kursus Kenegaraan pada hari Isnin baru-baru ni. Masa mula-mula dapat memo kena pergi kursus ni rasa berat hati aje...maklumlah 5 hari lamanya...padahal bukannya jauh sangat...kat Kuala Selangor je...sebenarnya takut kena lanyak...Huhh! Padan muka, ko ingat boleh mengelat ke?...hehehe...

Hakikatnya...kursus ni memang sangat menyeronokkan...saya ni dah la jenis yang bengong-bengong dengan subjek sejarah masa kat sekolah dulu...haa...ambik ko...memang sesuwaiii! Akak ni memang phobia betul dengan subjek sejarah masa kat sekolah dulu...ini fakta...dan disebabkan fakta jugak la akak demam. Mana nak ingat ceritanya...nama individu yang terlibat...apatah lagi tarikh sesuatu peristiwa tertentu yang diceritakan tu...tambahan pulak Cikgu yang mengajar dari mula sampai habis asyik berdiri setempat je sambil mulut kumat-kamit bercerita...tak hirau samada murid paham ke tak. Kadang-kadang tu ada jugak yang tulis nota  berjela sepanjang-panjang papan hitam kemudian suruh murid salin kat buku nota masing-masing. Baru nak terangkan...loceng pun bunyi...masa dah time...Cikgu keluar kelas...anak murid pun bla..bla...bla..blaaa....Sebenarnya anak murid pun 2 X 5 jugak...Cikgu mengajar kat depan dia berangan...macam mana nak paham...ish...ish...ish...

Hmmm...menceceh la pulak. Sebenarnya saya nak bagi tau kat semua bahawa kursus Kenegaraan atau kita selalu sebut kursus BTN ni memang bagus untuk kita lebih mengenali negara kita Malaysia...tak ada cuci minda dengan Breeze ke sabun Daiaa  atau pun Clorox seperti tanggapan sesetengah orang kat luar sana tu. Apa yang saya tau saya sayangkan negara saya MALAYSIA! 

Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian marilah kita bersama-sama bersatu-padu berlandaskan prinsip 1 Malaysia.

Seterusnya sama-samalah kita hayati lagu Menara Bangsa yang saya dan kawan-kawan sekursus nyanyikan sepanjang kursus berlangsung...dan dikesempatan ini saya nak ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Jurulatih dan Fasilitator  di  Warisan Sembilang, Kuala Selangor terutamanya Puan Hud yang menjadi fasilitator bagi kumpulan LDK saya...tak lupa untuk rakan-rakan LDK yang sporting dan baik hati...seronok dapat kenal dengan dua orang Amoi yang ramah...Saw  dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Chai dari Hospital Sg. Buluh...begitu juga dengan Huda dan En. Wan dari MAIWP, Haslina, Nik dan Ustaz Rahman dari UITM serta Fais dari MPOB.....FIKIRKAN BOLEH! Semoga kita akan menjadi warganegara yang bertanggung-jawab...insyaallah.



MENARA BANGSA

Suria muncul di pagi hari
Kita bangun sederap kaki
Menara bangsa akan kita bina
Perkasa tiada rebah lagi

Mentari sudah ada di sini
Pasti bersinar beribu tahun lagi
Biar berhembus angin sangkakala
Malam pasti tiada datang

Kita sudah tiada perlu tidur
Kerana mimpi ada di depan mata
Embun jernih pengganti keringat
Berkilau bagai mutiara

Rimba akan terus hijau
Unggas riang ria berkicau
Air jernih meriak di sungai
Udara nyaman  tenang di rongga

Darah kembali berharga
Merah buat penyeri muka
Senyum terus meniti di bibir
Kasih sayang jadi milik semua

Kita bebas...terbang laksana burung
Terikat hanya di tali cintaa

Kita bebas...terbang laksana burung
Terikat hanya di tali cinta