Sunday, May 31, 2009

TAKOYAKI

Hai!.....Layan dulu video kat atas ni ya. Biasa makan tak makanan Jepun ni? Makanan ni ada dijual di pasaraya Jusco dan dipanggil Tako Tao.....4 biji dijual dengan harga RM 4.30. Agak mahal kan?.....tapi kena dengan selera tekak saya ni. Rasanya sedap dan agak unik. Aroma dari Bonito flakes dan rumpai laut tu yang menyelerakan sebenarnya...ditambah pulak dengan sos dan mayonnaise yang menambah rasa lemak pada Takoyaki ni.

Semalam saya berjaya dengan ujikaji Takoyaki atau Octopus Ball ni...tapi saya buat ikut cara saya la. Insyaallah...saya akan tunjukkan bagaimana Takoyaki ni dimasak mengikut cara saya pada posting akan datang.....itu pun sekiranya kamera saya boleh berfungsi dengan baik.....huhuhu.....ke nak kena beli yang baru???

Thursday, May 21, 2009

MY HOMEMADE NOODLE

Jom buat mee sendiri. Nak tahu caranya? Jom ikut saya.

Setiap kali nak buat mee saya akan teringat pada Kak Mijah, anak kepada jiran sebelah rumah mak saya kat Johor. Dialah yang ajar mak dan kakak saya cara-cara buat mee. Terima kasih banyak-banyak Kak Mijah. Masa tu saya dan adik saya si Nolin tu masih bersekolah rendah lagi...jadi tukang sibuk ajelah.

Tapi dalam pada menyibuk tu...saya ni suka memerhati orang buat kerja. Katanya nak buat mee ni kena ada ubat dia baru jadi...saya ingat lagi ubat mee yang mak saya beli tu warnanya putih dan bentuknya bulat macam bola tenis. Kat kedai Cina aje ada benda tu. Saya pun tak tau apa ke namanya. Benda alah tu digunakan sikit je dan dilarutkan di dalam air. Mak saya panggil air abu kalau tak silap. Benda ni la yang buatkan mee tu berwarna kuning dan tahan lama. Kalau terlebih sukatannya...alamat tak boleh makan le mee yang kita buat tu. Mee terasa pahit dan lidas (ala yang rasa macam kebas-kebas...menggigit-gigit lidah tu). Baunya kuat macam terlebih kapur. Sekarang mak saya pun tak pakai dah ubat tu. Dia gunakan sedikit kapur makan je dan sedikit pewarna kuning.

Masa tu mak sebenarnya nak rasmikan pasta machine yang dikirim melalui sepupu yang duduk di Singapura...abang Udin namanya. Saya dengan Nolin bukan main jakun lagi bila tengok pasta machine ni digunakan. Selalunya mak beli mee kat van yang lalu depan rumah setiap pagi. Jadi bila tengok mee dibuat di depan mata rasa macam tak percaya...maklumlah budak-budak. Mak dengan kakak saya pun happy sama. Memang muai hasilnya. Untung orang yang buat bisnes ni.

Semenjak hari tu, mak dan kakak yang saya panggil Uteh selalu buat mee sendiri. Seperti biasa saya dan Nolin akan jadi pengacau. Sebaik saja mee siap direbus saya akan senduk ke pinggan dan curahkan kicap atau sos cili atas mee yang masih panas berasap tu. Saya dan Nolin akan gaul rata-rata dan makan dengan berselera sekali. Sedap tau! Sebenarnya sampai sekarang saya masih terbawa-bawa perangai lama tu...siap ajar anak-anak saya lagi...heheheh.

Ish...dah meleret-leret pulak intro saya ni. Jom la kita tengok macam mana nak buat mee ni.

Bahan-bahannya senang aje. Saya tak gunakan ubat mee atau pun kapur makan. Hanya semata-mata tepung gandum, air dan sedikit garam. Uli tepung dengan air sampai jadi doh yang kental macam dalam gambar. Seelok-eloknya biar keras sikit.

Bahagi-bahagikan doh kepada beberapa ketulan supaya senang nak dicanai.

Inilah dia pasta machine yang saya sebutkan tadi. Canai doh tadi gunakan mesin ni. Buat berulang-kali supaya doh menjadi lebih kenyal dan anjal.

Doh yang siap dicanai ikut ketebalan yang dikehendaki bolehlah dipotong menggunakan mesin ni. Tengoklah tu anak dara saya si Haifa dengan kakaknya Dina (yang cuma nampak tangan je tu) yang jadi sukarelawan untuk membantu mama diorang.

Inilah doh yang siap dipotong menjadi jaluran mee yang panjang.

Masukkan jaluran mee tadi ke dalam air mendidih yang diletakkan sedikit minyak supaya mee tidak melekat di antara satu sama lain. Mee boleh diangkat sebaik saja ia timbul di permukaan air. Jangan terlebih masak nanti tekstur mee kurang kenyal.

Inilah mee yang dah siap. Gaulkan dengan sedikit minyak.

Ini adalah masakan yang menggunakan mee buatan saya tu. Masa tu hanya bahan-bahan asas aje yang ada kat dapur time tu...ayam takde....udang ke sotong takde telur pun abis.....uwaaaa.....so redah jelah....inilah hasilnya......tadaaaaa.......MEE KICAP SEMPOI.
Menu ni memang sempoi habis tapi sedap you...mee yang kita buat sendiri ni lebih kenyal teksturnya tau dan yang penting tak ada bau kapur yang kuat sepertimana yang ada pada mee yang dijual di pasaran.....yang penting tiada was-was kerana terjamin halal.

Hidangan ni sangat mudah disediakan...my children's favourite. Cuma sediakan sos kicap istimewa tu je...pastu curah kat atas mee...tabur bawang goreng dan hiaslah ikut citarasa. Eee...makan panas-panas sedap ni.....kalau ada sup wantan lagi ngam.....tak sabarnyaaaa.....yummm.
He he...hias cantik-cantik pun akhirnya........mmm....yummy!

Hmmm......kenyangnya....alhamdulillah.....errr....mama, nak tambah lagi boleh ke??

















UDANG GALAH MASAK HIJAU DAUN PUDINA

Nampaknya posting saya kali ni masih lagi berkisar tentang makanan.....dah jadi macam blog masakan la pulak.....jangan marah eh? Sebenarnya saya bukannya terror sangat bab masak-memasak ni...saya main campak-campak dan agak-agak aje ikut kepala saya sendiri.

Haa...inilah dia hasil kerajinan tangan saya di dapur (yang sebenarnya tak berapa nak konsisten tahap kerajinannya tu...huhu). Masakan ni saya namakan Udang Galah Masak Hijau Daun Pudina.....straight forward je namanya.

Udang galah ni dibeli En. Suami kat Pasar Kampung Pandan...saya tanya nak masak apa? Balas En. Suami, masaklah apa-apa asalkan sedap! Saya pun belasah je ikut apa yang ada kat dalam peti ais tu. Kebetulan daun pudina yang selalu saya masukkan dalam teh 'o' panas kegemaran En. Suami masih ada. Hmmm.....bolehlah dijodohkan dengan si udang galah ni.

Udang galah tu saya goreng sekejap dalam minyak panas sampai bertukar warna. Kemudian saya tumiskan bahan-bahan kisar seperti bawang merah, bawang putih, sedikit halia, serai dan cili api yang masih hijau sampai garing dan naik bau. Masukkan jugak cili api hijau sebiji-sebiji (ini khas untuk En. Suami). Lepas tu saya masukkan serbuk jintan putih, serbuk ketumbar dan serbuk kunyit. Tambahkan sedikit air dan asam keping. Bubuh santan pekat dan bubuh garam dan gula ikut selera masing-masing. Nak tambah sos tiram pun boleh. Lepas tu masukkan udang yang dah digoreng...akhir sekali masukkan daun pudina...kacau rata. SIAP!

Maaflah...sukatan bahan tu agak-agaklah sendiri ya. Maklumlah saya ni bukan tukang masak profesional macam Chef Wan tu.

Untuk anda yang tak dapat nak merasa tu bolehlah dekatkan lubang hidung masing-masing kat gambar udang di atas ni.....ambik bau aje.....hmmm...wangi tak?.....heheheh.....jangan marah nanti kena jual.

Wah.....tersenyum En. Suami bila terpandang kat hidangan udang galah yang menyala-nyala warnanya ni...sampai meleleh air liur...heheheh (gurau je bang!) Memang sedap dinikmati bersama nasi panas...makan pun bertambah-tambah.

Saya rasa la...pengantin pun tak akan control cun/macho lagi kalau hidangan ni ada kat atas meja Makan Berdamai diorang.

Apa lagi.......tak teringin ke nak mencuba?




















Tuesday, May 19, 2009

MEMORI PIZZA EKSPRES

Saya masak pizza ni di atas permintaan anak sulung saya si Hadi untuk jamuan akhir tahun masa dia di tahun 4 dulu. Untuk pengetahuan semua, setiap tahun si Hadi akan buat request awal-awal berkenaan makanan yang akan dia bawa untuk jamuan hujung tahun. Macam tahun lepas...dia bawa spaghetti bolognaise yang saya masak dan roti john resipi abah dia. Kiri kanan tangannya menjinjing makanan...nak tergelak pun ada tengok gelagat dia...pasal makan memang terror...masuk bab belajar bukan main liat lagi.

Oklah...kita cerita balik pasal pizza kat atas ni. Memandangkan saya dah bersetuju dengan permintaan anak bujang saya yang agak demanding ni maka terpaksalah saya memikirkan cara nak memudahkan kerja saya masa tu. Maklumlah kan saya ni bekerja. Akhirnya saya dapat idea! Untuk menjimatkan masa dan tenaga saya gunakan roti pita yang bersepah kat pasaraya tu aje. Cuma topping pizza tu saya masak sendiri.

Apalagi lepas balik kerja bermulalah operasi Italian Kitchen saya...cewahh! Saya pun masak sos pizza daripada tomato segar + tomato dalam tin + puri tomato dan daging kisar + cendawan butang yang aromanya....mmmmm....harum dengan wangian herba campuran Itali tu. Selepas sos siap dimasak saya pun letaklah sos atas roti pita dengan pilihan topping seperti sosej, nenas, capsicum dan semestinya keju mozzarella. Lepas tu saya masukkan sos cili dan mayonnaise dalam beg plastik kecil yang saya gunting sikit bucunya...saya paipkan atas pizza berselang-seli jadi macam corak lattice. Anak-anak sangat enjoy masa tu.

Kemudian saya bakar pizza tu di dalam convection oven kesayangan saya dan suami. Hasilnya begitu cepat dan rasanya memang meletops! Gembira bukan kepalang si Hadi. Esoknya satu bekas besar dia bawa ke sekolah untuk jamuan dan habis sekelip mata kesemua pizza ekspres tu...diserbu kawan-kawan sampai cikgu pun tak sempat merasa. Lepas ni tak tau apa pulak request si Hadi untuk jamuan hujung tahun ni.

Anak-anak saya pulak memang pandai membodek. Kalau masakan saya menepati selera diorang maka akan kedengaranlah ungkapan-ungkapan seperti "You're the best mother in the world...I love you mama" atau pun "Masakan mama adalah yang paling best!".....memang sedap bunyinya tapi kalau degil tak dengar kata...memang siap kena libas dengan saya.

Insyaallah...kalau berkesempatan saya akan tunjukkan cara-cara buat pizza ekspres ni ya.