Thursday, December 31, 2009

SALAM TAHUN BARU 2010

Salam tahun baru untuk semua. Hmmm...memang saya ni blogger (ceh...memang tak layak) yang sangat lembap macam keretapi wap yang guna arang batu tu...bukan setakat bersawang  tapi dah berlumut dah pun blog saya ni. Lama sangat tak update. Pejam celik pejam celik hari ni dah pun 31/12/2009. Macam tak percaya tahun 2009 yang penuh dengan memori suka, duka, pahit dan manis bakal melabuhkan tirainya tak sampai beberapa  minit je lagi daripada sekarang. Begitulah cepatnya masa meninggalkan kita...terasa baru aje semalam menyematkan azam tahun baru di dalam hati.

Persoalannya sekarang ni...dah tertunai ke semua janji pada diri kita tu?...atau masing-masing terluka dan kecewa dek termakan janji-janji manis diri sendiri yang tak tertunai tu? Tepuk dada tanyalah hati...hidup di dunia realiti ni masa takkan berputar kembali...takde time tunnel macam dalam cerita fiksyen mat salleh tu. Jadi hidup perlu diteruskan...kesilapan lalu jangan diulang...jadikan sempadan...yang pahit tu janganlah dikenang-kenang sangat nanti jiwa jadi kacau...silap-silap meracau, siapa nak jawap tu?

Bagi sesiapa yang tak dapat tunaikan azam masing-masing dengan sempurna tu janganlah nak meroyan sangat ya...carry forward je azam tu lepas tu top-up dengan azam  yang baru pulak...hahahahh...boleh macam tu? Kan kehidupan tu pun adalah keazaman yang tiada henti selagi hayat dikandung badan... :D

Pada kesempatan ni saya nak ucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2010 kepada keluarga, rakan-rakan dan semua yang pernah singgah ke blog saya yang tak seberapa ni...dan rasanya masih belum terlewat lagi saya nak ucapkan SALAM MAAL HIJRAH 1431H kepada anda semua. Semoga kita akan menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya, insyaallah. Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberkati dan merahmati kita di dunia dan di akhirat kelak...aamiin.

Akhir sekali jom kita layan bunga api yang saya skodeng di Google ni.....yaayyy...Welcome Twentyten...time to celebrate.....kabooommmm!!!



 

 







Tuesday, December 8, 2009

Puding Karamel Santan Aidil Adha




Hidangan raya untuk sesi makan-makan di dapur...masa makan di ruang tamu dessert tak siap lagi...kiranya second trip la ni. Puding karamel ni khas untuk mak yang tak suka susu...sebab tu saya ganti dengan santan. Resipi cincai saya di cream carameltzz. Rupanya anak buah saya si Amirul tu suka sangat dengan dessert ni...nanti lain kali Mak Chik buat lagi untuk awak ek.  ;).


Friday, December 4, 2009

Menu Raya Haji 2009

Raya haji atau korban baru je berlalu. Kali ni saya dan keluarga berkesempatan pulang ke Johor meraikannya bersama-sama mak dan adik-beradik. Semenjak beberapa tahun yang sudah kami hanya menyambutnya di KL aje. Kebetulan kali ni ibu mertua menunaikan haji. Harapan kami sekeluarga agar beliau selamat kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur dan kesihatan yang baik, insyaallah.

Ok la...kali ni saya nak kongsi menu raya haji yang kami adik-beradik sediakan. Selalunya kami masak ketupat tapi oleh sebab nak ubah selera...kali ni kami tukar selera pulak...masak nasi lemak berlauk. Nasi lemak tu Kak Njang saya yang masak.




Sambal tumis telur Kak Njang saya.


Udang masak rempah dengan lada hitam ni adik  bongsu saya si Nolin yang masak.






Kak Njang tengah mencedok rendang ayam yang saya masak...kalau nak tau kakak saya ni tak makan ayam dan daging, sama macam mak.


Lepat pulut daun kelapa ni kami beli di Pasar Awam Kluang...orang Jawa pandai buat lepat ni....lemak-lemak masin rasanya sebab pulut dicampur dengan kelapa parut...kadang-kadang dicampur dengan kacang merah atau kacang mata hitam...baunya pun wangi...berbeza sikit dengan ketupat daun palas. Jiran yang tinggal di belakang rumah mak yang mesra kitorang panggil Kak Siti  memang pandai buat lepat ni...maklumlah Jawa piau (asli). Selalunya bila tiba hari raya kitorang memang tunggu lepat pulut dia dengan ayam masak kicap...memang sedap walaupun masakannya ringkas. Sayangnya lepat yang kami beli ni macam ada yang tak kena aje rasanya...macam ada rasa ajinomoto je...kuat pulak rasanya, melekat kat lidah...huhuhu...














Sesi menjamu selera anak-beranak.....hanya sebahagian je yang enterprem...yang lain tu ada sesi mentekedarah di belakang tabir...hehehehhh.....

CUBA TEKA!



JANGAN BETULKAN TV ANDA...
TETAPI SILA FOKUSKAN ANAK MATA ANDA PADA GAMBAR INI......jangan terkeluar biji mata sudah....



SESIAPA YANG TIADA MASALAH RABUN JAUH ATAU RABUN DEKAT, RABUN WARNA MAHU PUN RABUN-RABUN AYAM ATAUPUN SENGAJA BUAT-BUAT RABUN...cuba teka buah apa kat atas ni?

BAR b Q

Salam untuk semua. Alhamdulillah...dengan izinNya berjumpa kita sekali lagi kat sini...sementara tengah rajin ni baiklah saya masukkan entri-entri yang baru. Sebelum cuti raya haji hari tu, student saya ada buat barbeque. Maklumlah nak cuti semester...masing-masing berpakat last minute buat barbeque ringkas untuk menjamu kami yang mengajar diorang. Mereka semua ni pelatih bidang jahitan...kalau nak tengok beberapa hasil kerja diorang bolehlah klik kat Cikgu Haida @ Smocking Class Part 2


Jamuan yang ringkas je tapi semua enjoy!
Psssttt...sosej tu macam rentung je.


 Diorang ada 13 orang tapi mana lagi 4?


3 dara pingitan.


Ooo...patut la sosej tu rentung...
diorang ni sibuk posing rupanya.

Apa pun semuanya happy malam tu. Terima kasih banyak la sebab jemput saya. Untuk Kak Faizah pun terima kasih sebab masak mee hoon goreng untuk semua orang. Untuk seseorang yang namanya macam saya tu terima kasih ya untuk semua gambar. Semester depan buat lagi jamuan dengan konsep yang macam ni tau.


Sunday, November 1, 2009

Topping Kek Coklat

Alamak terlupa pulak nak cerita pasal topping coklat pada entry Kek Coklat Berangan  yang lepas tu. Nampaknya saya sambung kat sini la ya. Sori...takde gambarnya. Boleh tengok postingnya kat  sini

Caranya senang je...mula-mula masak air sampai mendidih dalam periuk. Lepas tu letak mangkuk adunan atas periuk (masa ni kecilkan api)...bahagian bawah mangkuk jangan mencicah air panas. Lepas tu masukkan lebih kurang 2 bar coklat masakan yang dah dipotong kecil-kecil  ke dalam mangkuk adunan. Tuang 1 kotak kecil whipping cream dan 1 sudu besar mentega. Kacau sampai coklat cair dan tutup api. Biar sejuk kejap.

Tapi kalau anda jenis yang tak sabar...boleh aje curah topping tu terus atas kek. Bila semuanya dah sejuk boleh ambik garfu dan buat lorekan kat topping tu ikut corak yang kita suka. Ini cara saya la...kalau nak tau teknik yang betul kenalah tanya pada yang professional. Boleh tengok cara saya melorek topping ni dengan cara yang sungguh tidak professionalnya di sini


Kek Coklat Berangan


Hahahihihuhu...kek coklat moist lagi. Memang berangan tak ingat betul la kek ni...dengan topping ganache yang meleleh-leleh tu...eeee...geramnyaaa. Ahakss...siapa yang berangan  ni Cik Kiah oii? Entah-entah tuannya kot...hehehehhh...tak berangan la...cuma perasan je (uwekkk...:p)...kih kih kih


Kek ni dah selamat dibaham minggu lepas. Saja je make-up kek ni biar nampak hot sikit. Kali ni saya akan kongsikan resipinya kat sini. Saya belajar buat kek coklat lembap ni masa duduk menyewa kat Damansara Utama dulu, kalau tak silap tahun 1996. Terima kasih pada Kak Ala kawan pada rakan serumah saya Kak Sham yang bekerja sebagai interior designer tu. Sebenarnya Kak Sham yang nak belajar...siap beli oven bulat lagi. Saya pun tumpang semangkuk la jadi penonton rancangan memasak Kak Ala yang mai dari Penang tu. Kaedah yang dia tunjukkan tu mudah nak ikut...tak payah nak guna mixer. Hmmm...apa khabar agaknya Kak Ala sekarang ni ek? 

 
Jom kita buat kek coklat lembap ni. Pastikan peralatan dan bahan dah disediakan. Ok...mula-mula campurkan 2 cawan tepung gandum, 1 cawan serbuk koko Van Houten, 1 sudu teh soda bikarbonat dan 3/4 sudu teh serbuk penaik. Ayak kesemuanya.

Lepas tu masukkan 2 cawan gula aising ke dalam bancuhan tepung dan koko tu. Kacau rata. Masukkan 1 ketul (250 gm) mentega yang dah dicairkan dan 3/4 tin susu pekat manis dan kacau rata. Masukkan 3 biji telur yang dipukul biasa (macam nak buat telur dadar), kacau sampai sebati. 

Tambah 1/2 cawan air panas yang dicampurkan dengan 1 sudu kecil nescafe ke dalam adunan dan kacau rata. Curah adunan ke dalam acuan dan bakar sampai masak ikut kesesuaian suhu ketuhar masing-masing. Kek ni boleh jugak dikukus.

............taaaapiiiii...kalau buat tak jadi, jangan salahkan saya ehh...jangan serik tau! Cuba dan cuba lagi sampai jadi.   :-).

Pasta Bersos Mentega




Tumiskan 1 labu bawang besar dan 4 ulas bawang putih cincang sampai layu. Masukkan herba campuran Itali, tumis dan kacau sampai naik bau. Masukkan sedikit lada serbuk lada hitam ikut selera masing-masing. 

Kecilkan api dan masukkan 1 cawan air rebusan pasta yang masih panas...campur dengan 1 sudu kecil serbuk pati ayam ke dalam tumisan bawang tadi. Sambil tu masukkan lebih kurang 1/2 ketul mentega sejuk yang dipotong dadu satu persatu ke dalamnya. Jangan berhenti mengacau supaya susu dan lemak mentega tak terpisah. Masa ni boleh tambah garam secukup rasa. 

Lepas tu boleh masukkan 4 batang sosej dan sepeket pasta  (apa-apa pasta pun boleh) yang dah direbus ke dalam sos tu. Gaulkan rata-rata. Siap dan boleh la dihidangkan. Hidangan ni sangat simple tapi mengenyangkan...anak-anak saya suka sangat sebab ada rasa ala-ala western gitu.


Ini dah lari konsep...mana datang chopstick tu? Orang makan pasta dengan sudu dan garfu, bukannya dengan penyepit...kerja si Dina la ni...suka sangat makan pakai chopstick. Alaa...mamanya pun 2 x 5 jugak. Inilah namanya semangat 1 MALAYSIA.....ceh ceh cehhh :-) 






Tragedi Kek Coklat




Lebih kurang sebulan yang lalu si Haifa yang genit tu merayu-rayu mintak dibuatkan kek coklat untuk jamuan hari raya di tadikanya...ni kira cerita dah basi la jugak...(kalau nak baca teruskanlah, kalau tak nak abaikan je...heee)

Dengan sifat keibuan yang menebal dalam jiwa, saya pun termakanlah dek pujuk rayu si Haifa ni. Jamuannya pada hari Jumaat. Maka bermulahlah episod godeh-menggodeh saya kat dapur pada malam sebelumnya. Saya bermula agak lewat, maklumlah bila balik dari kerja tu kena selesaikan macam-macam benda dulu. Mengemas itu dan ini...dalam masa yang sama si Haifa dok pok pek pok pek...tak puas hati sebab tengok mama dia rileks je. "Bila nak buat kek ni mama? Pegilah cepat...Haifa dah tak sabar ni...issshhhh...geram la dengan mama ni". itulah ayat yang dia ulang-ulang, naik kebas telinga saya ni dibuatnya.

Kebetulan kat ofis pun buat jamuan pot luck hari Jumaat tu. jadi saya pun berhajat buat 3 adunan sekali...cehh...macam terer! Akhirnya dekat-dekat pukul 12 malam baru saya kukus adunan kek saya tu...dua loyang sekali. Satu loyang lagi tengah dok tunggu giliran. Jadi sementara tu saya pun merebahkan diri nak meluruskan pinggang kejap, tiba-tiba teringat kat buku Travelogue Iran yang tak habis dibaca tu. Saya pun pun capai buku tu dan menyelak ke halaman yang saya tandakan. Cik Kiah ni pun membaca baris demi baris, satu perenggan ke satu perenggan, dari satu halaman ke satu halaman dannn.....ehh...kat mana aku ni? Dah sampai ke Iran ke???!!...berkabus dan berjerebu aje tempat ni...suram dan kelam je...ehhh...errr???!!@@%%$@##@%......zzzzzzzzzzzzzzz

Uaaaaarrrrggh...mmm...mmm...bau apa ni? Alamak! Astaghfirullah al 'azim.....mimpi ngeri rupanya..ish...ish...ishhh. Tapi kenapa kabus ni tak hilang lagi...takkan dalam rumah pun berkabus...ada bau pelik pulak tu! Tiba-tiba saya teringat  sesuatu (setelah agak waras sikit lepas mimpi dan mengigau)...oh tidaaaaakkkkkkk! Kek aku! Saya pun terus bangun, lintang-pukang ke dapur...air dah kering...tepi kek dah hangusss...disebabkan kelam-kabut tangan saya melecur terlanggar pengukus yang panas tu. Kelentang-kelentung bunyi tutup pengukus tercampak kat lantai. Bayangkan orang tengah sedap tidur saya dok huru-hara kat dapur sorang-sorang mengganggu ketenteraman awam...huhuhu...kek yang sepatutnya lembap jadi kering dan gersang macam gurun Sahara. Rasa nak nangis hantuk-hantuk kepala kat dinding aje tau!....hilang mengantuk saya. Tapi takpe...ada satu lagi yang belum dikukus. Kali ni kena fokus...tarik nafas...hembuuusss.

Phobia punya pasal...penyudahnya saya berjaga sampai ke pagi. Akhirnya tercapai jugak hajat si Haifa bawak kek tu ke sekolah...pheww...selamat alhamdulillah. Hasrat saya nak bawak kek tu ke ofis terkantoi la sudahnya... sebab kek dah berbau hangit. Akhirnya, mana-mana yang masih boleh diselamatkan jadi santapan anak-beranak je la. Selebihnya saya bawak balik ke Johor...kitorang bertolak pada sebelah petang lepas kerja. Bahan-bahan kek yang lebih tu pun saya bawak sekali...boleh sambung buat kat sana (tak serik-serik tu). Dapat la anak-anak buah makan puas sikit.  

Tapi entah kenapalah agaknya...tragedi kek coklat ni tak berakhir kat situ  je. Masa saya buat kek coklat yang ke-empat kat rumah mak saya tu, gas boleh habis la pulak...kwang kwang kwang. Nasib baik kek tu dah masak cuma bahagian tengahnya aje yang masih lembut sikit...so nak buat camner? Belasah ajelah...bubuh topping habis cerita. Oleh kerana saya ni tak pernah serik...esoknya sebelum balik ke KL saya buat lagi kek coklat tu...kiranya nak perabih stok yang ada la. Kali ni barulah berjalan dengan lancar walaupun hasilnya kek saya ni taklah secantik kek kat kedai tu. Selepas merentas duri dan ranjau (ek eleh...:p) akhirnya.....pegi la tengoklah kek kat atas tu.














Buah tangan dari jauh.


Pada minggu lepas saya telah menerima buah tangan daripada bekas pelatih/pelajar saya yang bernama Aishah. Buah tangan ni dikirim kepada saya melalui Kak Faizah, rakan saya yang pergi 'outstation' ke Kedah tempohari atas urusan temuduga pelatih di institut kami. Terima kasih banyak-banyak...kopi dan kuih bangkit tu memang mengancam.

Kopi cap Dua Daun ni merupakan perusahaan keluarga si Aishah yang dibangunkan oleh ayah beliau...memang sedap dan harum baunya...boleh cari kat Carrefour seluruh Malaysia. Manakala kuih bangkit tu bisnes mak saudaranya pulak. Memang keluarga usahawan diorang ni. Aishah pun sambil menjaga perusahaan kopi ayahnya, dia turut mengambil tempahan menjahit pakaian...baguslah macam tu kan, tak sia-sia ilmu kemahiran yang dipelajari dulu.

 
Comel betul kuih bangkit ni. Rasanya pun memang sedap...lemak-lemak manis gitu, cair kat dalam mulut. Lain kali kalau ada rezeki saya ke Kedah..insyallah saya akan terjah si Aishah dan Amir...boleh dapat kopi dan kuih bangkit free lagi...hehehehhh. Jadi kalau Aishah terbaca entry ni, terimalah pantun dua kerat saya ni....

"Asal beras dari padi.....terima kasih daun keladi"  ;-).







Tuesday, October 20, 2009

Kek Coklat Badam



Ini pula aktiviti saya semasa cuti Deepavali tempohari...buat kek coklat mini untuk kudapan seisi keluarga.


Mula-mula saya campurkan 1 cawan tepung gandum, 1 cawan tepung jagung, 1 cawan serbuk koko, 1 sudu teh serbuk penaik dan 3/4 sudu teh soda bikarbonat. Kesemua bahan ni sebaik-baiknya diayak...tapi masa ni teori tu saya ketepikan...hehe.

Mentega yang seketul tu saya putar dengan 2 cawan gula aising sampai kembang...kali ni guna tenaga lebih sikit sebab tak pakai mixer, putar dengan tangan je...guna wire whisk tu. Selalunya saya guna senduk kayu (wooden spatula) je...macam kakak saya Uteh selalu buat dulu.  Masa zaman budak-budak dulu saya rajin tengok Uteh buat kuih terutamanya bila tiba musim raya. Kakak saya ni pandai buat kek...tak payah guna peralatan moden pun masih menjadi kek dia.  Jadi dialah cikgu tak rasmi saya sebenarnya walaupun dulu kitorang selalu gaduh kat dapur.


Lepas tu boleh la masukkan telur yang 4 biji tu satu persatu ke dalam adunan mentega...pukul sampai sebati adunan tu. Masukkan esen vanilla.


Masukkan separuh daripada tepung yang kita sediakan mula-mula tadi ke dalam adunan mentega tu. Kaup-kaupkan aje dengan spatula plastik. Lepas tu masukkan lebihan tepung yang ada dan kaup adunan sampai sebati macam kat dalam gambar ni.


Adunan yang dah siap tu bolehlah dimasukkan ke dalam acuan ikut pilihan kita. Saya gunakan acuan muffin. Jangan isi sampai penuh acuan tu...nanti melimpah dan mengembang pulak kek tu...kang jadi macam cendawan pulak.

Saya taburkan dengan kepingan badam dan parutan coklat masakan. Kita nak makan sendiri bolehlah bermurah hati dengan taburan tu ya. Lepas tu bakarlah ikut kesesuaian oven masing-masing.


Tadaaa...panas dari oven. Kek coklat badam dah masak dengan kepingan badam yang garing dan coklat yang mencair.


Sebelum disimpan, sejukkan dulu di atas redai ni. Anak-anak dah tak sabar nak makan ni.


Nampak tak ada sebahagian coklat yang mencair di dalam kek ni? Yummm...cair di luar dan di dalam mulut manakala badam tu memberikan lebih tekstur pada kek ni.


"Mama, semua ni untuk Haifa tau"...hihihiii......





Sunday, October 18, 2009

Air Tangan Mak

 
Makanan di dalam dulang ni adalah hidangan tengahari hasil air tangan Mak saya yang dihidangkan untuk kami anak-beranak yang pulang ke kampung dua minggu lepas. Masakan dan gaya hidangannya yang sangat ringkas tidak boleh dijadikan kayu pengukur bagi menentukan kesedapan rasanya. Sebenarnya kegembiraan dan keikhlasan Mak adalah penyedap kepada hidangan ala kampung ini. Tak perlu ayam goreng atau pun kari daging mahu pun udang atau ketam sebagai tarikan untuk memancing selera kami. Hidangan ini adalah lebih daripada mencukupi kerana kami dapat rasakan kehadiran kasih sayang di dalam hidangan yang Mak sediakan ni.


Ini adalah lauk tumis air Mak yang sering saya nikmati masa kecil dulu malah masih lagi menjadi kegemaran sehingga kini. Mak masukkan sejenis sayuran yang biasanya kami orang Johor ni sebut pucuk/daun Ranti, di tempat lain saya tidak pasti apa namanya. Ianya mempunyai buah yang kecil-kecil berwarna hijau. Kalau di Kuala Lumpur ni saya boleh jumpa daun ni kat Pasar Malam IKM Kampung Pandan. Itu pun di gerai sayur-sayuran milik peniaga India, di tempat lain saya tak pasti. Selain dimasak dengan cara begini pucuk Ranti ni jugak sedap dibuat masak lemak. Bagi yang tak biasa mungkin akan mengatakan daun ni  agak pahit sedikit...hmm...itulah keistimewaan daun ni. 

Anak-anak saya juga menggemarinya. Kami boleh meratah begitu saja lauk ni sampai tak ingat orang belakang...hehehe. Kalau makan dengan nasi panas memang boleh bertambah-tambah.

 
Lebih-lebih lagi ada sambal tumbuk dengan ulam. Sambal yang di atas ni menggunakan lada kering, ikan bilis dan bawang yang digoreng. Kemudian semua bahan tu ditumbuk dan ditambah garam dan gula secukup rasa. Lada kering goreng tu yang membuatkan sambal tumbuk ni wangi. Dulu saya dan adik-beradik yang lain suka makan sambal ni berulamkan limau kasturi yang dimakan dengan kulitnya sekali. Begitu juga dengan pucuk betik, petai, jering dan sebagainya termasuklah kacang boto. Suami saya pun turut menggemarinya. 

Telur dadar tu juga sangat sesuai untuk hidangan ni. Ianya memberikan tekstur lembut, kenyal, rasa yang lemak dan menyenangkan terutamanya untuk kanak-kanak.


Untuk memberi lagi kontras dan umphh...ikan kering daripada jenis bilis yang rangup ni adalah pilihan yang tepat...kruk...kruk bunyinya bila dikunyah. Ikan ni Mak gaulkan dengan tepung gandum sebelum digoreng...menambahkan lagi kerangupan dan kesedapannya. Pasti sepinggan nasi tidak mencukupi.

Haa...itulah dia penangan air tangan Mak. Teringat kata-kata seorang sahabat saya yang berketurunan India, Chandran namanya. Katanya, makanan yang paling sedap baginya adalah masakan ibu bukan semata-mata kerana keenakannya sahaja tetapi kerana ianya disediakan oleh seorang ibu.

Oh! To my friend Chandran and family, I hope it's still not too late to wish you all HAPPY DEEPAVALI!




Biskut Cip Coklat


Raya dah habis baru nak buat biskut...hehe...peduli apa kan? Sebenarnya tak payah tunggu raya baru nak makan kuih makmur ke...bikut corn flakes ke...chocolate chips ke...atau apa-apa saja yang sewaktu dengannya. Rasa-rasa nak makan buat aje...anak-anak tentu suka. Itu pun kalau rajin...betul tak?


Biskut chocolate chips ni kegemaran anak-anak saya...adunannya sangat basic dan ringkas aje...ada mentega, gula perang, tepung gandum, tepung jagung, serbuk koko, telur, soda bikarbonate dan chocolate chips...tak kisahlah yang putih atau pun hitam. Kali ni saya gunakan yang putih...dulu saya pernah masukkan yang ada perisa strawberry...warna pink lagi. Chocolate chips tu saya gaulkan sekali dengan adunan biskut tu...selebihnya untuk hiasan. Saya ni kalau buat biskut malas nak menerap-nerap, teramatlah kurang tahap kerajinannya. Jadi kebanyakan biskut saya adalah daripada jenis drop cookies. So, ini adalah chocolate chips cookie versi malassssss!!!








Saturday, October 17, 2009

Le Chomel PIZZA

Sekolah anak saya telah mengadakan jamuan akhir tahun dan perpisahan pada hari Khamis yang lepas. Seperti biasa anak bujang saya minta saya buatkan pizza untuk dibawa ke jamuan tu. Jadi pada petang Rabu yang lalu saya dan abahnya bergegaslah ke TESCO Ampang untuk mendapatkan bahan-bahan untuk pizza ni.


Comel je pizza ni, seperti biasa kitorang gunakan roti pita aje...shortcut la kiranya, tak larat nak menguli dan nak cepat siap.


Antara bahan-bahan yang saya gunakan untuk topping le chomel pizza ni. Ada cendawan butang yang dihiris nipis, capsicum hijau dan merah, nenas kiub dalam tin yang dipotong kecil-kecil, daging cincang yang ditumis dengan bawang merah dan bawang putih serta daun bay. Jangan lupa keju mozzarella parut.


Haa...ada juga sosej kegemaran budak-budak yang tak boleh ditinggalkan. Yang penting sekali sos pizza yang saya tumis sendiri dengan bawang besar, bawang putih dan tomato segar sehingga layu..ditambah pula dengan daun bay serta oregano, rosemary dan thyme yang segar sehingga naik bau. Masukkan pula puri tomato dan rasakan garam dan gulanya.


Pizza yang dah siap dibakar dan boleh terus dimasukkan ke dalam mulut...nyum...nyum...nyum. Saya masukkan 3 keping pizza sekaligus ke dalam convection oven saya dan dibakar selama lebih kurang 10 minit.


Sebelum dibawa ke sekolah kitorang anak-beranak belasah dulu beberapa keping le chomel pizza ni.


Inilah bekalan untuk Hadi bawa ke jamuan kat sekolah dia. Nasib baik abah Hadi sukarela membakar semua pizza ni. Si Dina pulak rajin bubuh sos dan topping kat pizza ...Hadi macam biasa la...tau makan je. Si kenit Haifa pulak jadi tukang sibuk.

Pagi Khamis tu Hadi ke sekolah dengan senang hati dan senyuman yang bersimpul-simpul sebab dapat bawak pizza ni lagi ke jamuan sekolahnya. Tapi rupa-rupanya jamuan mula agak lewat...katanya pukul 11 pagi...hai le chomel pizza dah jadi le peluh pizza la kisahnya. Kesian kat Hadi dan kawan-kawan serta cikgu-cikgunya, terpaksalah makan pizza yang dah sejuk tu. Apa-apa pun terima kasihlah sebab semuanya habis dimakan...alhamdulillah.