Saturday, May 29, 2010

Jenahak Bersos Mentega Lemon

Hai kawan-kawan! Siang tadi saya masak hidangan  yang sangat ringkas dan mudah disediakan ni. Malam sebelumnya saya gunakan ikan Salmon tapi sayang tak sempat diambil gambar...dapat juga si Amy dan anaknya berkongsi sekeping Salmon dengan salad timun Jepun dan anggur hijau...langkah kanan nampaknya diorang tu.

Hari ni saya gunakan ikan Jenahak yang dibeli Encik Suami...kepingan ikan yang sebesar tapak tangan saya tu berharga 5 ringgit...si 'Salmon Khan' tu pulak 10 ringgit sekeping. Sekali-sekala makan ikan mahal apa salahnya...hehehehhh

Saya padankan ikan ni dengan salad mudah...ada iceberg salad, daun pudina, timun, epal Fuji dan bawang merah. Cara membuatnya sama macam salad epal Fuji yang ada kat dalam entri ini.

Ikan Jenahak tu saya perap dengan lada hitam dan serbuk pati bilis. Kemudian saya masak di atas non stick grill pan...guna kuali leper pun boleh. Untuk sosnya saya tumiskan 4 ulas bawang putih yang dicincang halus bersama satu sudu besar mentega...tak perlu garing, cukup sampai naik bau aje. Lepas tu kecilkan api dan masukkan 1/4 ketul mentega yang dipotong dadu (daripada mentega yang 250 gram tu).....ya, gunakan mentega yang sejuk. Kacau sampai mentega cair...masukkan 1/2 cawan susu cair...jangan berhenti mengacau...tutup api dan perahkan jus daripada 1/2 biji lemon. Kacau lagi dan tambah garam dan sedikit gula. 

Curahkan sos mentega lemon ni di atas kepingan ikan yang dah siap dimasak tadi. Hidangkan bersama-sama salad yang telah disediakan...memang menyelerakan tapi kalau Dr. 'S' tau mesti saya kena marah ni...strictly no butter in your diet okay!...huhuhu...

Ngap!...yummm...yummm...yummmmm......

Sunday, May 23, 2010

Pecal Kuah Putih


Ada sesiapa yang menggemari pecal tak? Selain daripada ayam masak lemak daun pegaga tu...hari ni saya buat pecal tapi versi kuah putih. Selalunya kuah pecal berwarna gelap dan ada kacang tanah tapi kali ni kuahnya berwarna putih dan tiada kacang tanah. Kuahnya berwarna putih sebab saya gunakan santan pekat...ops...santan lagi!

 
Ini bahan-bahan pecalnya...ada kangkung, taugeh dan tempe yang dicelur. Tauhu dan terung digoreng. Untuk kuahnya ringkas aje. Saya goreng dulu cili api yang dekat 20 biji tu...Awas! Meletup. Segenggam ikan bilis dan 1 labu bawang merah pun saya goreng juga. Masukkan ke dalam blender dan tuangkan santan pekat daripada 1 biji kelapa yang dimasak sekejap...jangan pecah minyak. Kisar kesemua bahan tu. Kalau suka boleh juga dikisar sekali dengan belacan yang digoreng. Tuang kuah ke dalam mangkuk dan bubuh garam dan gula secukup rasa. Perahkan jus limau kasturi ikut rasa masam yang diinginkan. Kuah ni sedap tau...baunya wangi sebab bahan-bahan rencahnya digoreng dan rasanya lemak-lemak manis, masin dan masam...cair air liur dibuatnya. Pucuk ubi rebus pun boleh dicicah dengan kuah ni tau.

Pecal ni pun sedap kalau dilawankan dengan ikan keli goreng...memang terangkat punyalah bila dimakan dengan nasi panas!

Ayam Masak Lemak Daun Pegaga

Ayam masak lemak daun pegaga ni adalah hidangan tengahari untuk hari Ahad yang ceria. Saya memang suka makan daun pegaga...tak kira yang mentah atau pun yang telah dimasak. Dulu emak saya selalu masak gulai lemak daun pegaga dengan kacang hijau...sedap betul walaupun direncah dengan ikan bilis dan bawang aje.
Lauk yang saya masak ni mudah aje...yang lecehnya nak bersihkan dauh pegaga tu. Tumbuk 3 inci halia dan kunyit hidup, 3 ulas bawang putih, 1 labu bawang merah dan 10 biji cili api. Masukkan potongan ayam (seekor) yang telah dibersihkan dan bahan tumbuk serta 4 batang serai yang telah diketuk ke dalam periuk. Masukkan santan pekat daripada 2 biji kelapa...tenggek periuk yang bertutup di atas api yang kecil...biarkan ayam kecut kemudian masukkan setengah ikat daun pegaga dan sekeping asam gelugor. Tutup periuk dan biarkan kuah mendidih dan ayam betul-betul masak...api biar kecil. Tambah garam secukup rasa. Kalau suka tambah sedikit gula untuk seimbangkan rasanya. Mudah aje kan?

Entri yang berikutnya saya akan cerita pasal Pecal Kangkung pulak.

MENU HUJUNG MINGGU

Hai...Salam mesra di hujung minggu! Apa aktiviti menarik di hujung minggu ni ya? Bagi saya dan famili, masa yang berharga ni digunakan sepenuhnya untuk bergedik santai aje di rumah sambil menonton DVD dan semestinya...makan! 

Hari Sabtu semalam saya masak ayam panggang yang mudah menggunakan convection oven yang sangat berjasa tu. Ayam tu saya perap dengan bahan yang sangat ringkas iaitu sos tiram, lada hitam dan sedikit garam...kemudian dipanggang sehingga masak. 

Ayam panggang ni sedap dimakan dengan sos pudina yang selalu dimakan dengan roti nan dan ayam tandoori tu. Sebenarnya mudah aje nak menyediakannya...kisar seikat daun pudina (batangnya jangan diambil) bersama 2-3 ulas bawang putih...kalau tak suka kurangkan sendiri ya, 5-10 biji cili api...sila ukur baju di badan sendiri...kalau tak tahan pedas tu pandai-pandai la adjust) dan campurkan sedikit air masak...jangan terlalu banyak...bubuh nak bagi syarat boleh dikisar aje. Kisar sampai halus teksturanya. Lepas tu campurkan susu cair...anggaran 3-4 sudu besar dan campurkan perahan jus daripada setengah biji lemon...tambahkan garam dan gula secukup rasa dan kacau rata. Nah...siap untuk dihidang macam kat dalam gambar tu. 

Saya juga sediakan salad epal Fuji dan mangga yang ringkas sebagai pembuka selera. Memang mudah menyediakannya...

Sagat sebiji epal Fuji, sebiji buah mangga dipotong kiub, sebatang timun Jepun dihiris nipis dan menyerong serta koyak-koyakkan aje iceberg salad tu...bubuh kesemuanya dalam mangkuk. 

Lepas tu masukkan 3 ulas bawang putih yang telah disagat halus, empat biji cili api, satu sudu teh serbuk pati ikan bilis Tumix dan satu satu sudu teh serbuk cili kasar ke dalam salad tu. Perahkan setengah biji lemon dan tambah garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan 1 sudu besar *ikan bilis kisar. Gaulkan salad dengan rata supaya rasanya mesra...pastikan masam, manis dan masinnya seimbang. Memang gandingan yang mantap untuk ayam panggang tu. Cubalah ya...boleh disesuaikan dengan citarasa dan kreativiti masing-masing pulak lepas ni.

*Basuh dulu segenggam ikan bilis dan sangan di dalam kuali tanpa minyak...untuk keringkan ikan bilis sebenarnya. Lepas tu boleh dikisar kering di dalam blender. Simpan di dalam bekas kedap udara.

Tuesday, May 11, 2010

KONNICHIWA !....

Aduhai...nak cakap Jepun la pulak, dahlah lama betul blog ni ditinggalkan sepi tanpa cerita menarik...ehem...macamlah menarik sangat entri yang lepas-lepas tu kan?..Sebenarnya kalau ikutkan hati memang tergedik-gedik saya nak masukkan entri baru setiap minggu...tapi apakan daya...aku insan yang lemah tidak berdaya...kita hanya merancang, tuhan yang menentukan...ceh ceh ceh...dah mula nak propa la tu. 

Okaylah kita lupakan semua tu...baik saya cerita pasal salah satu makanan kegemaran anak-anak saya iaitu sejenis makanan Jepun yang tidak perlu diperkenalkan lagi...yang memang dah terkenal seantero dunia disebabkan keistimewaan dan keunikannya. Apa lagi kalau bukan Sushi!  

Jom kita layan...........

Saya dan anak-anak bergotong-royong buat sushi ni...kenyang perut dan puas hati. Oleh kerana khusyuk sangat membuatnya saya tak sempat ambil gambar step by step proses pembuatannya. Insyaallah di lain masa saya akan usahakan juga.

Kali ni saya tak gunakan beras sushi yang kontot-kontot tu...stok dah habis. Jadi saya gantikan dengan beras wangi aje...yang penting beras ni pun jenis melekit dan tak seroi macam beras basmathi tu. Saya tanak 3 cawan beras...pastikan jangan lembik...nanti tak jadi pulak sushi tu. Kalau nak tengok macam mana cara nak sediakan nasi untuk sushi ni boleh tengok di sini. Saya gantikan cuka dengan jus perahan daripada 3 biji lemon yang dicampur dengan 3 sudu besar gula dan 1 sudu teh serbuk pati ikan bilis.

Mmmm...sedap dimakan dengan kicap cair dan wasabe. Dalam tu ada jejari ketam, timun dan isi ikan patin panggang lada hitam. Selalunya saya gunakan ikan keli yang rasanya jauh lebih sedap daripada ikan patin. Oleh kerana ikan keli yang dicari tak dapat, cik abang saya cadangkan diganti dengan ikan patin aje...yang seronoknya sushi  saya ni tetap laku. Setiap kali siap digulung dan dipotong ia hilang sekelip mata dimakan dengan penuh berselera oleh anak-anak saya. Lepas ni saya nak guna ikan keli macam yang selalu saya buat sebelum ni...rasanya macam unagi sushi.

Ini pulak sushi yang saya buat hari sebelumnya dengan isi jejari ketam mayonnaise dengan timun Jepun. Kualiti gambar yang ini tak berapa baik...maaflah ya. Cukuplah dulu untuk kali ini...mata dah mengantuk sangat ni...SELAMAT MALAM!