Sunday, October 18, 2009

Air Tangan Mak

 
Makanan di dalam dulang ni adalah hidangan tengahari hasil air tangan Mak saya yang dihidangkan untuk kami anak-beranak yang pulang ke kampung dua minggu lepas. Masakan dan gaya hidangannya yang sangat ringkas tidak boleh dijadikan kayu pengukur bagi menentukan kesedapan rasanya. Sebenarnya kegembiraan dan keikhlasan Mak adalah penyedap kepada hidangan ala kampung ini. Tak perlu ayam goreng atau pun kari daging mahu pun udang atau ketam sebagai tarikan untuk memancing selera kami. Hidangan ini adalah lebih daripada mencukupi kerana kami dapat rasakan kehadiran kasih sayang di dalam hidangan yang Mak sediakan ni.


Ini adalah lauk tumis air Mak yang sering saya nikmati masa kecil dulu malah masih lagi menjadi kegemaran sehingga kini. Mak masukkan sejenis sayuran yang biasanya kami orang Johor ni sebut pucuk/daun Ranti, di tempat lain saya tidak pasti apa namanya. Ianya mempunyai buah yang kecil-kecil berwarna hijau. Kalau di Kuala Lumpur ni saya boleh jumpa daun ni kat Pasar Malam IKM Kampung Pandan. Itu pun di gerai sayur-sayuran milik peniaga India, di tempat lain saya tak pasti. Selain dimasak dengan cara begini pucuk Ranti ni jugak sedap dibuat masak lemak. Bagi yang tak biasa mungkin akan mengatakan daun ni  agak pahit sedikit...hmm...itulah keistimewaan daun ni. 

Anak-anak saya juga menggemarinya. Kami boleh meratah begitu saja lauk ni sampai tak ingat orang belakang...hehehe. Kalau makan dengan nasi panas memang boleh bertambah-tambah.

 
Lebih-lebih lagi ada sambal tumbuk dengan ulam. Sambal yang di atas ni menggunakan lada kering, ikan bilis dan bawang yang digoreng. Kemudian semua bahan tu ditumbuk dan ditambah garam dan gula secukup rasa. Lada kering goreng tu yang membuatkan sambal tumbuk ni wangi. Dulu saya dan adik-beradik yang lain suka makan sambal ni berulamkan limau kasturi yang dimakan dengan kulitnya sekali. Begitu juga dengan pucuk betik, petai, jering dan sebagainya termasuklah kacang boto. Suami saya pun turut menggemarinya. 

Telur dadar tu juga sangat sesuai untuk hidangan ni. Ianya memberikan tekstur lembut, kenyal, rasa yang lemak dan menyenangkan terutamanya untuk kanak-kanak.


Untuk memberi lagi kontras dan umphh...ikan kering daripada jenis bilis yang rangup ni adalah pilihan yang tepat...kruk...kruk bunyinya bila dikunyah. Ikan ni Mak gaulkan dengan tepung gandum sebelum digoreng...menambahkan lagi kerangupan dan kesedapannya. Pasti sepinggan nasi tidak mencukupi.

Haa...itulah dia penangan air tangan Mak. Teringat kata-kata seorang sahabat saya yang berketurunan India, Chandran namanya. Katanya, makanan yang paling sedap baginya adalah masakan ibu bukan semata-mata kerana keenakannya sahaja tetapi kerana ianya disediakan oleh seorang ibu.

Oh! To my friend Chandran and family, I hope it's still not too late to wish you all HAPPY DEEPAVALI!




2 comments:

kakzie said...

pucuk ranti jugak org kl panggil.kalau kat kawasan rumah saya biasanya org india suka tanam.buah dia tak silap depa suka masukkan dlam dalca

E-DA said...

Oo...sama jugak namanya ya tapi kalau yang masuk dalam dalca tu Mak saya panggil buah kelo. Bentuknya kurus panjang...masak kari memang sedap.Pucuk ranti ni pulak buah dia kecik-kecik aje.